Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Negara Brunei Darussalam dan Malaysia terus menikmati hubungan persahabatan dan kerjasama dalam pelbagai peringkat yang erat serta terus diperkukuhkan menerusi interaksi dan perbincangan untuk mempromosikan lebih banyak kerjasama positif dalam pelbagai bidang.
Hubungan dan kerjasama yang erat itu, bukan sahaja kerana kedua-dua buah negara mempunyai nilai dan pandangan mengenai isu-isu semasa dan global yang serupa tetapi kedua-dua buah negara turut mempunyai sempadan transnasional bersama.
Pada masa yang sama, kerjasama turut disaksikan antara Brunei dan Malaysia dalam sektor tenaga menerusi penglibatan kerap dengan Petronas dalam pembangunan padang minyak Brunei dan pembelian LNG serta dengan sokongan TNB bagi operasi Loji Brunei LNG dan aktiviti-aktiviti penjanaan tenaga negara.
Di samping itu, kedua-dua negara terus memberikan sokongan menerusi pertukaran penduduk dan pembangunan bakat serta kerjasama dalam pelbagai sektor perindustrian termasuk IT dan industri pembuatan.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein ketika berucap pada Sesi Perbincangan Meja Bulat dengan Kapten-kapten Industri di Brunei yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia, Puan Yang Terutama Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Dr Wan Ismail, hari ini.

Malaysia terus menjadi rakan perdagangan yang penting bagi Brunei di mana kira-kira 8.5 peratus barangan dieksport dari Brunei ke Malaysia dan kira-kira 11.9 peratus barangan import ke Brunei, berasal dari Malaysia pada 2018, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny lagi pada majlis yang berlangsung di Empire Hotel and Country Club, Jerudong.
Beliau juga menyatakan bahawa pelaburan dari Malaysia pada 2017 merangkumi kira-kira $674.7 juta dan berharap nilai berkenaan akan meningkat lagi dengan kedua-dua buah negara terus memberikan sokongan antara satu sama yang lain dalam era global dan kurang menentu pada masa ini.
Pada masa yang sama, beliau juga berharap kedua-dua buah negara akan terus bekerjasama dalam bidang industri yang boleh membawa pembangunan bersama kepada ekonomi kedua-dua buah negara di mana di antara yang menjadi aspirasi bagi Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian termasuk pertumbuhan industri-industri halal, logistik, industri ICT, pembuatan, perkhidmatan dan pertumbuhan aktiviti hiliran minyak dan gas.
Dalam hubungan itu, beliau berharap perusahaan-perusahaan Brunei dan Malaysia akan terus meneroka peluang-peluang bersama dalam bidang-bidang berkenaan serta untuk melihat bagaimana mereka boleh memanfaatkan rangkaian masing-masing.
“Pada hari dan usia kini, adalah menjadi semakin penting kita boleh memanfaatkan kekuatan satu sama yang lain merentas rangkaian nilai transnasional untuk berinovasi dan mengekalkan daya saingan di dalam arena global,” jelasnya.
Menyentuh mengenai usaha Brunei untuk memacu pertumbuhan industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny berkata bahawa pihak kerajaan terus berusaha untuk memperbaiki ease of doing business di Brunei dan penyediaan tapak perindustrian yang berkualiti bagi pelabur-pelabur.
Beliau menerangkan bahawa aktiviti hiliran yang baharu muncul ialah Loji Penapisan Minyak dan Petrokimia di Taman Perindustrian Pulau Muara Besar yang mempunyai kapasiti pengeluaran maksimum 8 juta tan setahun yang akan mula beroperasi pada hujung 2019.
Dalam hubungan itu, beliau mengalu-alukan rakan kongsi antarabangsa negara untuk mengenal pasti aktiviti hiliran berpotensi yang boleh memanfaatkan loji berkenaan menerusi kerjasama dengan perniagaan-perniagaan tempatan.
Pada masa yang sama, ulasnya lagi, kerajaan juga meletakkan perhatian kepada pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mengutamakan eksport.
Di samping itu, beliau berkata bahawa pihaknya juga terus menjana peluang-peluang bagi PMKS kedua-dua buah negara untuk mengetengahkan produk-produk mereka di pasaran masing-masing di mana produk halal dan tempatan seperti kain tenunan, kain Jong Sarat, merupakan di antara produk tempatan Brunei yang menarik minat di kalangan pengguna di pasaran Malaysia.
Yang Berhormat Dato juga percaya bahawa masih terdapat potensi yang besar untuk mengembangkan lagi hubungan perdagangan, pelaburan dan perniagaan di antara Brunei dan Malaysia serta berharap perbincangan yang diadakan akan menjadi pemangkin kepada hubungan yang sedia ada.
Terdahulu, PYT Datuk Seri Dr Wan Azizah dalam ucapannya berkata, sesi perbincangan meja bulat itu bermatlamat untuk memberikan maklumat terkini kepada komuniti perniagaan di Brunei supaya mereka mendapat kefahaman yang lebih baik mengenai situasi ekonomi di Malaysia pada masa ini dan peluang-peluang perdagangan serta pelaburan yang boleh diterokai oleh kedua-dua buah negara.
Beliau menjelaskan bahawa pada 2018, Brunei merupakan rakan perdagangan Malaysia yang ke-36 terbesar dan ke-7 terbesar di ASEAN di mana jumlah perdagangan keseluruhan antara Malaysia dan Brunei meningkat sebanyak 45.9 peratus untuk mencapai jumlah AS$981.2 juta pada 2018 jika dibandingkan dengan jumlah yang dicatatkan pada 2016 iaitu sebanyak AS$672.6 juta.
Dalam hubungan itu, beliau menggalakkan usahawan-usahawan Brunei untuk mengukuhkan lagi rangkaian hubungan mereka dengan syarikat-syarikat Malaysia dan untuk mengenal pasti bidang-bidang kerjasama yang berpotensi di mana perkhidmatan serta produk-produk berpotensi untuk dikembangkan seperti industri halal, perabot, tenaga yang boleh diperbaharui, minyak dan gas, pendidikan awal kanak-kanak, penjagaan kesihatan, pelancongan perubatan dan ICT.
Beliau juga berkata bahawa Malaysia merupakan antara pelabur asing terbesar di Brunei di mana pada 2017, Malaysia melabur hampir setengah bilion dolar Amerika di mana pelaburan Malaysia di Brunei adalah sebilangan besarnya dalam minyak dan gas, perbankan dan kewangan, pembinaan dan perkhidmatan kejuruteraan.
Manakala itu, pelaburan Brunei ke dalam Malaysia pula adalah dalam sektor-sektor seperti hospitaliti, pembuatan kimia dan produk-produk kimia serta peralatan dan mesin.
Beliau turut menyeru syarikat-syarikat Brunei dan Malaysia untuk memanfaatkan peluang yang wujud daripada perkembangan industri e-dagang di rantau ASEAN di mana pada 2018, negara-negara ASEAN telah memeterai Perjanjian ASEAN bagi Perdagangan Elektronik yang mana ia merupakan usaha bersama untuk memudahkan transaksi e-dagang merentas sempadan dengan mengurangkan halangan serta menurunkan kos kemasukan.