Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Bagi mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi menyelam yang sedang meningkat di Asia Tenggara, Brunei Darussalam, melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah menyertai Asia Dive Expo dan Australia Advance Dive Conference (ADEX-OZTek Australia 2025).
Acara yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sydney pada 15 hingga16 Mac itu menyediakan platform ideal untuk Brunei mempamerkan lokasi menyelam yang masih terpelihara, kapal karam bersejarah dan terumbu karang yang cantik kepada pasaran Australia.
Mengiktiraf ekspo sebagai saluran utama untuk mempromosi penyelaman, delegasi JKP telah disertai oleh pengendali menyelam tempatan, wakil hotel dan syarikat penerbangan kebangsaan Brunei.
Acara dua hari itu diisi dengan sesi jaringan terbuka, menyediakan peluang untuk meneroka potensi kerjasama dan pengembangan pasaran, dengan fokus khusus kepada penyelaman teknikal.
Selain itu, pembentangan bertajuk The Undiscovered Secrets of Brunei’s Shipwrecks pada acara itu menekankan Brunei sebagai destinasi utama untuk penyelaman teknikal.

Ia memaparkan ‘muzium dalam laut’ negara ini, yang mempamerkan kapal karam bersejarah dan pelbagai ekosistem di perairan Brunei.
Di samping itu, wakil dari jabatan dan pengendali menyelam tempatan telah melakukan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat PADI Asia Pasifik di Sydney, meneroka peluang kerjasama untuk meningkatkan lagi penglibatan Brunei dalam jaringan global PADI.
Pada tahun 2024, Brunei mencatatkan ketibaan 964 pelancong dalam pasaran penyelaman, menjana hasil pelancongan sebanyak $246,974.28.
Perbelanjaan purata setiap pengunjung adalah $256.20, mencerminkan peningkatan sebanyak 9.4 peratus daripada $234.10 setiap pengunjung pada 2023.
Dengan penyertaan Brunei Darussalam dalam ADEX OZTek Australia 2025, JKP bertujuan untuk terus mengembangkan segmen ini, terutamanya dengan sasaran pasaran penyelaman teknikal yang bernilai tinggi, yang mempunyai potensi perbelanjaan yang lebih tinggi.
Untuk maklumat pelancongan atau aktiviti lanjut, sila layari laman web Pelancongan Brunei di www.bruneitourism.com atau @info.bruneitourism di Instagram.