Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama rapat bina daya tahan pelbagai industri

    VIENTIANE, LAOS, 11 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin berangkat bersama para pemimpin ASEAN, Republik Demokratik Timor-Leste, Australia dan Republik India menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-4 dan Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-21 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional (NCC), Vientiane.
     
    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
     
    SIDANG KEMUNCAK ASEAN-AUSTRALIA KE-4
     
    Semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-4 tersebut, Baginda berkenan mengurniakan titah menzahirkan penghargaan terhadap pelaksanaan Strategi Ekonomi Asia Tenggara menuju 2040 khususnya pelantikan Business Champions and Investment Deal Teams untuk meningkatkan perdagangan dua hala. 
     
    Oleh itu, ASEAN dan Australia perlu terus bekerjasama dalam menangani cabaran global bagi mencapai matlamat bersama demi masa hadapan yang lebih baik dan lebih terjamin. 
     
    Baginda juga menekankan bahawa perubahan iklim adalah salah satu cabaran sedemikian, sehingga menyebabkan kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap dan melampau, merosakkan infrastruktur dan mengganggu aktiviti pertanian. 
     
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan beramah mesra bersama Perdana Menteri Australia, Tuan Yang Terutama Anthony Albanese. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra dengan Perdana Menteri India, Tuan Yang Terutama Narendra Modi. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Menurut Bank Pembangunan Asia (ADB), keselamatan makanan adalah berisiko yang disebabkan oleh produktiviti tanaman di rantau ini diunjurkan berkurangan sehingga 50 peratus menjelang 2050. 
     
    Ke arah itu, Baginda menekankan keperluan untuk bekerjasama rapat bagi membina daya tahan melalui amalan, dasar dan penyelidikan dalam pelbagai industri. 
     
    Akhir sekali, Baginda menyambut baik sokongan berterusan Australia terhadap Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Brunei Darussalam, yang akan memperkukuh kesiapsiagaan serantau dan tindak balas terhadap kecemasan berkaitan iklim. 
     
    Semasa sidang itu, para pemimpin mengesahkan kembali bahawa Australia merupakan rakan penting kepada ASEAN, untuk meningkatkan peluang-peluang pekerjaan dan pelaburan baharu demi memanfaatkan perniagaan dan seterusnya meningkatkan lagi perdagangan serantau. 
     
    Dengan visi bersama untuk mencapai keamanan dan kemakmuran, ASEAN dan Australia komited bagi menubuhkan hubungan pertahanan yang lebih kukuh dan pertukaran antara rakyat melalui pendidikan dan penglibatan belia.
     
    • SIDANG KEMUNCAK ASEAN-INDIA KE-21
     
    Pada Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-21, Baginda bertitah menyatakan, selama lebih satu milenium, negara-negara Asia Tenggara dan India berkongsi hubungan dalam perdagangan dan budaya, sehingga menyumbang kepada ikatan persahabatan yang kukuh secara semula jadi. 
     
    Ini telah menjadi asas untuk memupuk kerjasama erat bagi menubuhkan Perkongsian Strategik Komprehensif.
     
    Memandangkan landskap global semasa dipenuhi dengan perubahan pesat dan cabaran baharu, Baginda menegaskan bahawa revolusi digital membawa peluang dan risiko besar. 
     
    Oleh itu, ianya amat penting untuk mempersiapkan rakyat bagi menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 90 peratus perniagaan dan merupakan jentera inovasi dan pertumbuhan inklusif. 
     
    Dalam hal ini, Baginda menggesa Majlis Perniagaan ASEAN-India untuk menganjurkan lebih banyak perjumpaan antara PMKS di ASEAN dan India. 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda