Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Sebagai usaha berterusan untuk membantu dan menyantuni Rakan Seliaan (RS) supaya mereka dapat mengharungi kehidupan dengan lebih baik dan bermakna, Aftercare Support Association (AFSA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan dua buah syarikat swasta iaitu Reflection By The Jayys dan BD Creative Centre di Ibu Pejabat AFSA, kelmarin.
Menerusi MoU yang dimeterai itu, kedua-dua buah syarikat akan bekerjasama bagi menyediakan peluang-peluang pekerjaan sesuai dengan kemahiran dan kelayakan RS.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan penandatanganan perjanjian berkenaan ialah Pemangku Pengarah Penjara, Awang Bahrin bin Haji Yassin.
Turut hadir, Penasihat AFSA, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Yang Dipertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Muhd Jaya; Pengurus Reflection By The Jayys, Awangku Amirull Azizi bin Pengiran Jeffry; Pengurus BD Creative Centre, Syed Mohammad Halawi bin Borhan; serta jawatankuasa AFSA dan pegawai-pegawai dari kedua-dua syarikat berkenaan.
Menandatangani bagi pihak AFSA ialah Timbalan Yang Dipertua AFSA, Haji Mustapa bin Haji Masri dan Reflection By The Jayys diwakili Awangku Amirull Azizi serta BD Creative Centre oleh Syed Mohammad Halawi.
Hajah Juhana dalam kata alu-aluannya menyatakan pihak AFSA berharap agar kerjasama yang dimeterai itu akan dimanfaatkan oleh RS dengan sebaiknya dalam pelbagai bidang pekerjaan yang akan disalurkan nanti.
Di samping itu, pihak AFSA juga menaruh kepercayaan dan keyakinan supaya agensi-agensi serta syarikat-syarikat yang lain dapat tampil ke hadapan bagi sama-sama membantu dan menyantuni RS berkenaan.
Sumbangan dan komitmen yang dihulurkan akan memberikan impak yang besar bagi mengubah situasi kehidupan RS dan keluarga mereka menjadi lebih baik.
