Friday, July 18, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama serantau kunci tangani kos ubat HIV

    KUCHING, 17 JULAI – ASEAN perlu mencari mekanisme melalui kerjasama serantau bagi menangani kos tinggi ubat antiretroviral (ARV) yang digunakan dalam rawatan HIV, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

    Beliau berkata ubat-ubatan ini amat penting untuk memastikan kejayaan rawatan jangka panjang.

    “Kita mesti bersama-sama meneroka strategi untuk mendapatkan harga yang lebih berpatutan, pelesenan sukarela, dan penyelesaian pembelian secara serantau. Kita perlu bergerak ke hadapan bukan secara bersendirian, tetapi sebagai satu rantau yang bersatu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian ASEAN Regional Dialogue on Affordable ARV Drugs and Promoting Community-Based Testing (CBT) for Key Populations yang diadakan di sini, hari ini.

    Menurut beliau, kos purata rawatan ARV sedia ada di Malaysia kini adalah sekitar RM500 setahun. Namun, negara sedang dalam proses peralihan kepada ubat baharu dikenali sebagai Tenofovir-Lamivudine-Dolutegravir (TLD).

    “ARV sedia ada berharga sekitar RM500 setahun. TLD pula dianggarkan menelan kos kira-kira RM200 sebulan, namun matlamat kami adalah untuk mengurangkannya sekurang-kurangnya kepada RM100 sebulan.

    “Walaupun ia lebih mahal berbanding ubat sebelum ini, keberkesanannya jauh lebih tinggi dalam merawat pesakit,” katanya. – Bernama

    Lukanisman (tengah) ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian ‘ASEAN Regional Dialogue on Affordable Antiretroviral (ARV) Drugs and Promoting Community-Based Testing (CBT)’ kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda