Saturday, September 28, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama serantau penting tangani cabaran ASEAN

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Menteri Kebudayaan, Belia, dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad telah menghadiri Mesyuarat ke-32 Majlis Komuniti Sosio Budaya ASEAN (ASCC) yang diadakan di Hotel Landmark Mekong Riverside, Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos, kelmarin.

    Mesyuarat bertemakan Enhancing Connectivity and Resilience itu dipengerusikan oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan, Republik Demokratik Rakyat Laos selaku Pengerusi Majlis ASCC 2024, Puan Yang Terutama Suanesavanh Vignaket.

    Pada mesyuarat itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi telah menekankan keperluan untuk mengimbangi keperluan generasi sekarang dan akan datang serta pentingnya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kerja-kerja ASEAN dan bagaimana ianya telah memberikan impak secara langsung kepada kehidupan mereka.

    Beliau juga menekankan peranan penting kerjasama di antara sektor dalam menangani cabaran serantau utama sementara menyatakan sokongan Negara Brunei Darussalam terhadap dokumen hasil di bawah ASCC yang akan dihadapkan untuk pengesahan ketua-ketua kerajaan atau negara ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45.

    Mesyuarat Majlis ASCC ke-32 memberi tumpuan kepada keutamaan serantau di bawah Tonggak ASCC, termasuk kelestarian alam sekitar, daya ketahanan kesihatan dan perlindungan sosial.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai bersama menteri-menteri negara ASEAN yang lain pada mesyuarat di Hotel Landmark Mekong Riverside, Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Di samping itu, ia juga menekankan kepentingan kerjasama serantau serta menyambut baik perkembangan dalam penyediaan Pelan Strategik ASCC Pasca-2025, yang merangkumi langkah-langkah strategik tonggak ASCC dalam beberapa bidang hasil utama untuk menyokong matlamat jangka panjang Visi Komuniti ASEAN 2045.

    Mesyuarat ke-32 Majlis ASCC didahului oleh Mesyuarat ke-7 Ad-Hoc Working Group to Develop ASCC Post-2025 Strategic Plan, Mesyuarat ke-7 Working Group on Culture of Prevention dan Mesyuarat ke-37 Senior Officials Committee for the ASCC (SOCA) yang telah berlangsung dari 23 hingga 25 September lalu.

    Yang Berhormat Dato turut disertai Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari selaku Ketua SOCA Negara Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai dari KKBS.

    Mesyuarat turut dihadiri oleh menteri-menteri ASCC negara-negara ahli ASEAN atau wakil, serta timbalan setiausaha agung ASEAN bagi Tonggak ASCC.

    Timor Leste juga hadir sebagai negara pemerhati.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda