KUALA LUMPUR, 30 JULAI – PS Food & Beverage Sdn Bhd, syarikat di bawah ekosistem Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PT Margarana Dream City di Indonesia untuk mewujudkan rangka kerja perkongsian berkaitan penjualan dan pengedaran produk minuman, serta penubuhan kilang pembuatannya di Indonesia dengan nilai pelaburan AS$3 juta.
Kerjasama strategik itu melibatkan hubungan simbiotik jualan dan pengedaran minuman berjenama Origina keluaran PS Food & Beverage ke Indonesia, serta penggunaan produk agrikultur keluaran Tani Nelayan Indonesia (TNI) di bawah PT Margarana Dream City dalam pembuatan minuman itu.
Pengarah Urusan PS Food & Beverage Sdn Bhd, Mohd Zain Harun berkata eksport produk minuman ORIGINA keluaran syarikat itu dijangka dimulakan pada suku keempat 2019.
“Ini kali pertama kami menembusi pasaran Indonesia bukan hanya sebagai pembekal, tetapi juga dengan menubuhkan sebuah kilang di sana.
“Jadi kami akan berkongsi kepakaran teknologi pembungkusan, pembuatan dan pemprosesan. Sebagai timbal balik, kami akan mengimport sebahagian daripada bahan mentah seperti jus, pati dan pes daripada rakan kongsi kami (PT Margarana Dream City) di Indonesia untuk digunakan dalam produk minuman kami. – Bernama