GENEVA, 22 MAC – Kerjasama rentas sempadan mengenai sumber air berkongsi boleh membantu mengelakkan konflik dan membina keamanan, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, menggesa semua negara menyertai Konvensyen Air PBB.
PBB menegaskan bahawa dengan perubahan iklim dan kekurangan air yang meningkat di seluruh dunia, kerjasama air rentas sempadan semakin penting demi kestabilan serantau dan pencegahan konflik.
“Air dan keamanan saling berkait rapat,” kata Sonja Koeppel, Setiausaha Konvensyen Air PBB, kepada AFP.
Beliau menegaskan lebih 60 peratus daripada semua sumber air tawar dikongsi oleh dua atau lebih negara, termasuk sungai utama seperti Rhine dan Danube di Eropah, Mekong di Asia, Sungai Nil di Afrika dan Amazon di Amerika Latin.
“Kerjasama di perairan tersebut adalah penting untuk keamanan, untuk pembangunan untuk tindakan iklim,” katanya.
Air adalah sumber yang sangat penting, katanya, dan ia mempunyai kuasa untuk membawa negara yang berkonflik ke meja rundingan, membuka pintu kepada kerjasama dalam bidang lain juga.
India dan Pakistan misalnya mempunyai perjanjian kerjasama mengenai penggunaan Sungai Indus.
Dan persetujuan yang dicapai oleh Senegal, Mauritania, Guinea dan Gambia pada tahun 1970an mengenai Lembangan Senegal membolehkan mereka membiayai dan membina infrastruktur yang mengagihkan air ke keempat-empat negara. – AFP


