Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Bank Baiduri telah menjalin kerjasama dengan UnionPay International dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) untuk meningkatkan perjalanan rentas sempadan dan pengalaman pembayaran di Brunei, China dan rantau lain.
Kolaborasi itu bermatlamat untuk menyampaikan kemudahan perjalanan yang lancar dan ganjaran eksklusif bagi pelancong-pelancong di Brunei, Malaysia dan China.
Kerjasama itu menandakan pencapaian besar dalam menyokong pelancongan Brunei yang berkembang sambil mempromosikan penggunaan penyelesaian pembayaran mudah dan selamat bagi pelancong.
Dengan menggabungkan rangkaian perolehan tempatan ekstensif Bank Baiduri, kesalinghubungan laluan RB dan jejak penerimaan global UnionPay International, kolaborasi berkenaan akan menawarkan lebih nilai dan kemudahan kepada pelancongan tempatan dan antarabangsa.
Sehubungan itu, majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) telah diadakan di Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini. Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Menandatangani bagi pihak Bank Baiduri ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, bagi pihak UnionPay International ialah Timbalan Pengurus Besar Asia Tenggara, Michael Shang dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid menandatangani bagi RB.


Di bawah MoU itu, ketiga-tiga pihak akan meneroka pelbagai inisiatif yang direka untuk menyampaikan manfaat nilai tambah kepada pemegang kad UnionPay. Ia merangkumi promosi perjalanan dan penerbangan eksklusif dan usaha pemasaran bersama yang mengetengahkan Brunei sebagai destinasi menarik bagi pelawat China dan serantau.
Sebagai salah sebuah institusi kewangan unggul Brunei, rangkaian perolehan perniagaan kukuh Bank Baiduri menyediakan liputan penerimaan luas merentas perniagaan gaya hidup, makan dan runcit seluruh negara.
Kerjasama itu membenarkan pemegang kad UnionPay untuk menikmati lebih kemudahan pembayaran semasa lawatan mereka ke Brunei, memperkaya pengalaman perjalanan keseluruhan mereka.
Bank Baiduri menggalakkan perniagaan tempatan untuk menyertai rangkaian pedagangnya dan menerima kad UnionPay, memandangkan bank itu kini merupakan satu-satunya institusi kewangan di Brunei yang dibenarkan untuk memperoleh transaksi UnionPay.
Ia menawarkan kelebihan unik kepada pedagang dalam menjangkau bilangan pelawat
China dan pelancong serantau yang semakin meningkat, sementara menyokong ekosistem pelancongan Brunei dan pertumbuhan ekonomi tempatan.
Ti Eng Hui menyatakan kerjasama itu menyatukan tiga organisasi dengan visi bersama untuk memperkukuh hubungan serantau dan memberikan nilai yang lebih besar kepada pelancong.
Sementara itu, Michael Shang menyatakan perasaan gembira dapat bekerjasama dengan Bank Baiduri dan RB untuk meningkatkan pengalaman perjalanan dan pembayaran untuk pemegang kad UnionPay di seluruh rantau ini.
Kerjasama itu, tambahnya, mencerminkan komitmen mereka untuk menyokong ekosistem pelancongan Brunei yang semakin berkembang dan memperkukuh hubungan serantau melalui penyelesaian pembayaran yang selamat, lancar dan bermanfaat.
Manakala Kapten Sabirin menyatakan kerjasama berkenaan merupakan langkah penting ke hadapan dalam meningkatkan pengalaman perjalanan dan pembayaran untuk pelanggan di seluruh Brunei, China dan rantau yang lebih luas.
Beliau menambah, “Di RB, tujuan kami adalah sentiasa menghubungkan Brunei ke dunia, dan dunia ke Brunei. Dengan laluan terus ke bandar-bandar utama China, serta ke destinasi serantau di Borneo, kami berbangga memainkan peranan penting dalam memperkukuh keter-sambungan serta menyokong pertumbuhan pelancongan Brunei.”

