Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama tingkatkan potensi belia

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Penandatanganan memorandum persefahaman di antara Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bersama Shell LiveWIRE Brunei Sdn Bhd dapat meningkatkan lagi kerjasama bagi mendapatkan khidmat pakar khususnya dalam bidang keusahawanan ke arah menggalakkan penglibatan serta meningkatkan potensi belia dalam keusahawanan, sekali gus sebagai usaha untuk mengembangkan rangkaian usahawan-usahawan belia.

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan dalam kata alu-aluan di Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara KKBS bersama Shell LiveWIRE Brunei Sdn Bhd yang berlangsung di Dewan Binadiri, Pusat Pembangunan Belia, kelmarin.

    Hadir untuk menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dari KKBS dan juga pegawai-pegawai kanan dari Shell LiveWIRE Brunei Sdn Bhd.

    Dalam kata alu-aluannya, Pengiran Haji Mohd Hasnan menerangkan bahawa Pusat Pembangunan Belia (PPB), KKBS merupakan sebuah pusat dan wadah dalam memeduli belia dan komuniti secara inklusif dengan memberikan ilmu, pengetahuan dan kemahiran selaras dengan kehendak pasaran.

    “Malah, PPB mampu melahirkan model insan yang kompeten dan kebolehpasaran, iaitu memperoleh pekerjaan, berkecimpung dalam keusahawanan mahupun melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi,” tambahnya.

    Beliau menyatakan lagi bahawa untuk mengukuhkan peranan PPB, salah satu kerjasama antara PPB dan LiveWIRE telah dilaksanakan dengan inisiatif untuk menambah baik Program YDC Lights On yang terdahulu, iaitu untuk mendapatkan khidmat pakar bagi menghasilkan perisian program yang lebih berimpak tinggi dengan mengetengahkan strategi perniagaan yang relevan dan terkini.

    Pengiran Haji Mohd Hasnan berharap dengan adanya memorandum persefahaman itu, para usahawan belia dari Program YDC Lights On akan memperoleh dan memanfaatkan ilmu keusahawanan sebagai laluan atau trajektori mereka untuk menyertai program-program keusahawanan anjuran Syarikat Minyak Brunei Shell seperti LiveWIRE Business Awards atau Program I-Usahawan.

    Pengiran Haji Mohd Hasnan bertukar dokumen dengan Hajah Rosita yang disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa majlis penandatanganan memorandum persefahaman di Dewan Binadiri, Pusat Pembangunan Belia, baru-baru ini.
    Antara belia yang hadir pada majlis tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda