Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama UK-Brunei kukuhkan hubungan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Menteri Indo-Pasifik, Puan Yang Terutama Anne-Marie Trevelyan akan berada di Negara Brunei Darussalam tiga hari bermula esok bagi menghadiri Dialog Strategik United Kingdom (UK)-Brunei kali kedua dengan tumpuan kepada perdagangan, kerjasama keselamatan dan iklim.

    Dialog berkenaan telah dilancarkan pada Disember 2021 untuk mengesahkan semula hubungan UK-Brunei yang telah terjalin dan memberi peluang bagi membincangkan pelbagai keutamaan bersama.

    Menurut Suruhanjaya Tinggi British di Brunei Darussalam dalam kenyataan yang dikeluarkan, semasa berada di negara ini, beliau akan mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di mana beliau akan mengalu-alukan kerjasama yang semakin erat antara UK dan Brunei termasuk melalui ASEAN.

    Beliau seterusnya juga akan bertemu Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof bagi Dialog Strategik di samping Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Menteri Indo-Pasifik itu juga akan melihat usaha-usaha untuk memulihara hutan hujan tropika Brunei dan hidupan liar yang pelbagai dalam tindakan dengan lawatan ke Kuala Belalong Field Centre, di mana beliau akan bertemu penyelidik British dan Brunei.

    PYT Anne-Marie Trevelyan akan berada di Negara Brunei Darussalam selama tiga hari.

    Beliau juga akan meraikan peranan wanita dalam masyarakat Brunei semasa pertemuan dengan pemimpin-pemimpin wanita dalam bidang perniagaan, sukan dan kerajaan.

    Bercakap menjelang lawatan tersebut, PYT Anne-Marie Trevelyan dipetik berkata “Hubungan kita (UK-Brunei) berakar umbi dalam ikatan budaya dan sejarah yang mendalam, sistem undang-undang dan perkongsian kita yang dikongsi antara rakyat dan melalui pendidikan dan kewangan.

    “Bersama-sama, kita adalah ahli Komanwel, bekerjasama melalui ASEAN dan berkongsi hubungan ketenteraan yang telah lama terjalin, dengan British Garison kami yang berpangkalan di negara ini sejak awal 1960-an.

    “Sebagai Menteri untuk Indo-Pasifik, saya bekerjasama dengan rakan antarabangsa kami setiap hari untuk mengukuh-kan hubungan UK dengan sekutu lama dan kuasa ekonomi baharu.

    “Fokus kami adalah untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan, menggalakkan hubungan sains dan teknologi yang lebih erat dan meningkatkan hubungan dalam penyelidikan dan pembangunan, sesuatu yang saya akan lihat sendiri apabila melawat Kuala Belalong Field Centre,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda