Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjaya bukan untuk mereka yang gayat tinggi

    AMERIKA SYARIKAT – Bertenggek hampir 90 meter di atas dataran New Mexico, terikat pada bumbung generator turbin angin dengan satu tali keselamatan, Terrill Stowe berada dalam keadaan yang membuatkannya gembira.

    “Saya tidak pernah melihat sesiapa jatuh dalam 14 tahun. Harap hari ini bukan yang pertama,” gurau pengajar teknikal itu kepada wartawan AFP yang berhempas pulas menaiki 260 anak tangga di bawahnya.

    Turbin angin gergasi dan tunggal itu berdiri megah di atas bandar kecil Tucumcari, hanya setengah jam pemanduan dari sempadan Texas sepanjang lebuh raya bersejarah Route 66.

    Dibina pada tahun 2008 di kampus Kolej Komuniti Mesalands, struktur ini adalah salah satu daripada beberapa turbin berfungsi di Amerika Syarikat (AS) di mana juruteknik baharu boleh dilatih untuk menyertai industri angin yang berkembang pesat.

    Pertumbuhan sektor itu sangat luar biasa. Hari ini, AS mempunyai sekitar 75,000 turbin, menjana elektrik yang mampu membekalkan tenaga kepada kira-kira 40 juta rumah di AS.

    Stowe mendekati nacelle, yang menempatkan kotak gear dan penjana turbin angin, di kampus Kolej Komuniti Mesalands di Tucumcari, New Mexico. – AFP
    Alexander bercakap di sebelah replika turbin angin di kampus Kolej Komuniti Mesalands di Tucumcari, New Mexico. – AFP
    Stowe berdiri di atas nacelle, yang menempatkan kotak gear dan penjana turbin angin, di kampus Kolej Komuniti Mesalands. – AFP
    Stowe, memanjat ke puncak turbin angin di kampus Mesalands Community College di Tucumcari, New Mexico. – AFP
    Stowe, berdiri di atas nacelle yang menempatkan kotak gear dan generator turbin angin. – AFP
    Stowe mengumpulkan peralatan keselamatannya sebelum naik ke puncak turbin angin. – AFP
    Gambar AFP

    Kapasiti angin negara itu telah meningkat lebih dua kali ganda sejak beberapa dekad lalu – peningkatan yang menyebabkan industri bergelut untuk melatih pekerja mahir yang cukup untuk memastikan turbin tersebut terus berfungsi.

    “Mereka membina lebih banyak ladang angin, tetapi tidak mempunyai juruteknik yang mencukupi untuk mengendalikan ladang tersebut,” kata Stowe.

    Beliau melatih 10 hingga 20 pelajar setiap semester. Mereka mula berlatih di atas tanah dengan replika generator dan kotak gear, sebelum akhirnya naik ke nacelle turbin, atau bilik enjin, berada tinggi di pusat tiga bilah turbin gergasi tersebut.

    Stowe memberi amaran kepada pelajar bahawa ia bukan kerjaya untuk mereka yang lemah semangat.

    “Saya beritahu mereka jika mereka takut kepada ketinggian, mungkin mereka tidak mahu mencuba ini,” katanya.

    “Dalam keadaan berangin, berada di atas menara adalah seperti menaiki bot, berayun ke depan dan ke belakang… pada ketinggian 100 meter di udara,” kata Stowe.

    TEORI KONSPIRASI

    Ledakan industri angin telah dipacu oleh penurunan kos teknologi, peningkatan kecekapan penjanaan dan insentif kerajaan AS seperti Akta Pengurangan Inflasi Presiden Joe Biden.

    Antara rekrut terbaharu adalah Nathaniel Alexander dan Kevin Blea, dua pemuda dari Tucumcari yang dilatih di bawah Stowe dan baru-baru ini kembali ke kolej lama mereka sebagai pengajar.

    “Saya menyokong tenaga bersih,” kata Alexander, 28, yang mendaftar terus selepas sekolah menengah.

    Tetapi sebab utamanya untuk menyertai adalah keinginan untuk melakukan ‘kerja lelaki sejati’ dan menerima gaji yang baik.

    Pengajian Ijazah selama dua tahun menelan kos AS$6,000 hingga AS$10,000 dan membuka jalan kepada pekerjaan yang boleh membayar $50,000 hingga $90,000 setahun.

    Di bahagian luar bandar timur New Mexico – kawasan konservatif di negeri yang sebahagian besarnya menyokong Demokrat – ramai yang enggan memberikan pujian kepada Demokrat atas kemajuan itu.

    “Beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan trend peningkatan,” akui Stowe.

    “Namun, pengundi Republikan percaya “mereka mencatatkan lebih banyak trend peningkatan ketika Trump berada di Rumah Putih,” tambahnya.

    Alexander berkata, kredit cukai baru-baru ini ‘memang membantu’ industri, tetapi dia ‘tidak terlalu berminat’ dengan politik hijau.

    Dia suka membaca hantaran-hantaran di laman Facebook mengenai teori konspirasi berkaitan dengan kos diesel yang diperlukan untuk mengendalikan turbin angin.

    “Itu tidak benar sama sekali, cuma agak lucu bagi saya,” katanya.

    ANGIN, AIS, KILAT

    Keadaan keselamatan telah berubah dengan ketara dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

    Sebelum menjadi pengajar, Stowe pernah bekerja di ladang angin dan mengimbau pengalaman terpaksa merangkak di atas lapisan ais yang beku di permukaan turbin angin, dengan angin kencang berkelajuan 90 batu sejam.

    Menaranya juga sering disambar petir, kerap kali memerlukan juruteknik untuk memanjat dan melakukan pembaikan.

    “Ketika saya mula-mula memanjat, keadaan cuaca tidak menjadi halangan,” katanya.

    Namun kini, jika cuaca tidak menentu walaupun sedikit, mereka tidak akan memanjat.

    Blea juga mengimbas kembali pengalamannya, di mana angin menggegarkan turbin dengan begitu kuat semasa latihan sehingga seorang rakan pelajar muntah dalam topi keselamatannya.

    “Ia agak menjijikkan, sejujurnya,” kata lelaki berusia 27 tahun itu sambil ketawa.

    Walaupun terdapat risiko, kerja ini berbeza sama sekali dengan pekerjaan pejabat, katanya.

    “Menjadi orang pertama yang naik ke menara itu dan melihat pemandangan pada waktu pagi adalah sesuatu yang mengagumkan,” tambah Alexander. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda