Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjaya lakonan lagi susah dan penat bagi Ustaz Kazim

    Berkongsi pengalaman sepanjang berkecimpung dalam bidang lakonan, pendakwah bebas Malaysia, Ustaz Datuk Kazim Elias mengakui kerjaya itu lebih mencabar berbanding bergelar seorang pendakwah.

    Memetik laporan mStar, menurut Kazim, 52, berlakon adalah lebih memenatkan dan memerlukan komitmen masa yang lebih panjang berbeza ketika beliau diundang menyampaikan ceramah agama.

    “Dah macam superstar bila berlakon filem. Alhamdulillah saya dah ada sitkom sendiri, berlakon telemovie dan drama jadi bila berlakon filem ni saya rasa saya boleh buat.

    “Tapi bila saya masuk ke set penggambaran, penat dan letih gila! Pukul 4 pagi kena berlakon dan menunggu dari pukul 9 malam.

    “Baik jadi penceramah daripada berlakon. Pendakwah cakap dua jam lepas itu balik, tapi berlakon filem ni susah,” katanya kepada mStar.

    Dalam pada itu, Ustaz Kazim juga sempat berkongsi pengalaman mistik yang terjadi ketika penggambaran filem Zim Zim Ala Kazim.

    Ketika kejadian misteri itu berlaku, Kazim berkata dia tiada di lokasi penggambaran, namun mendengar cerita produksi melihat kelibat lembaga hitam.

    “Pengalaman mistik tu kru kena, saya dah biasa. Mereka kena kacau lembaga hitam tapi masa itu saya tiada.

    “Cuma saya pesan pada mereka, jangan buat perkara tak senonoh. Adegan tu tetap mereka teruskan kemudian mereka jumpa saya, saya kata baca doa sudah cukup.

    “Bagi saya jangan maki dia (lembaga hitam) jangan marah dia, sebab itu menguatkan dia,” ujarnya.

    Selain Kazim, antara pelakon lain yang terlibat ialah Bell Ngasri, Mawi, Ryan Bakery, Iqram Dinzly, Anas Tahir, Santesh, Man Raja Lawak dan ramai lagi. – Agensi

    Filem Zim Zim Ala Kazim merupakan filem lakonan pertama Ustaz Kazim. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda