SUNGAI BESAR – Niat murni Muhammad Ikmal Hafizi Mohd Nazri yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga kedua ibu bapanya di kampung kini terbalas apabila memperoleh kerjaya baharu menerbangkan dron bagi kerja-kerja membaja dan menyembur racun untuk tanaman padi.
“Apabila saya pulang ke kampung untuk menjaga ibu bapa yang kurang sihat, saya dapat tahu melalui rakan bahawa Koperasi Wawasan Tani Bhd Simpang Lima sedang mencari pengendali dron maka saya memohon kerja tersebut lalu dilantik untuk menerbangkan gajet itu,” Ikmal berkata.
Ikmal yang berusia 25 tahun merupakan enam daripada 30 orang yang dipilih untuk menerbangkan dron bagi membaja dan menyembur racun dalam proses penanaman padi.
Digelar sebagai ‘pilot’, Ikmal bersama rakan sekerja, Mohd Afiq Haziq Sulaiman, telah melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memantapkan lagi penggunaan dron di samping dapat mengelak daripada sebarang masalah.
Afiq merupakan pemegang Sijil Kemahiran Malaysia berkata mereka mengubah suai dron itu mengikut ketetapan yang sesuai daripada segi penggunaan bateri dan kapasiti racun yang boleh digunakan untuk satu lot sawah padi.
“Kita kena tahu berapa tong yang sesuai bagi menyembur racun dengan efektif. Setelah kita melakukan R&D, kita telah mengubah suai dron itu supaya boleh membawa 10 liter racun dengan kawalan bateri yang sesuai,” katanya.
Selain itu, katanya mereka perlu belajar mengawal ketinggian dron dan masa yang sesuai untuk menyembur racun supaya usaha menghapuskan penyakit pada padi dan serangan serangga seperti ulat batang berkesan.
Afiq adalah antara ‘pilot’ terawal yang menerbangkan dron untuk penanaman padi, dan telah mengendalikan pelbagai jenis dron termasuk DJI Agras MG1, model dron pertama digunakan di sawah padi yang memerlukan dua pengendali.
Selain itu, Ikmal dan Afiq juga berdaftar dengan Kelab Belia Wawasan di bawah koperasi dan diakui oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk melayakkan mereka mendapat latihan dan bekerja sebagai ‘pilot’ di koperasi itu.
Waktu kerja mereka setiap hari adalah dari pukul 6.30 pagi hingga 11 pagi dan 5 petang hingga tengah malam kerana ia merupakan waktu aktif serangga perosak.
“Kita pernah juga kerja sampai 1 pagi untuk menyembur racun iaitu waktu yang serangga boleh dikatakan aktif. Kita boleh tolong pesawah dan bekerja sampai lewat malam, tapi kita juga perlu minta tolong dengan pesawah supaya mengalihkan kayu atau dahan tinggi yang ada di tengah sawah untuk memudahkan perjalanan dron,” kata Afiq.
Mengulas aspek pendapatan, Ikmal dan Afiq amat berpuas hati dengan gaji yang diterima ditambah pula dengan waktu bekerja yang fleksibel.
“Ramai yang tanya, kenapa saya kerja di sawah memandangkan saya ada diploma. Saya berasa sangat puas hati dapat menjadikan minat sebagai kerjaya dalam masa yang sama mendapat gaji yang sesuai,” kata Ikmal yang telah membawa dron sejak akhir tahun lepas.
Mereka juga berharap bilangan dron dapat ditingkatkan bagi menarik lebih ramai belia untuk bekerja di sawah yang kini amat memerlukan tenaga darah muda.
“Kita tidak mempunyai dron yang cukup sekarang tetapi ramai telah meminta untuk bekerja di sawah dengan harapan untuk menerbangkan dron,” kata Afiq. – Bernama