Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjaya penyampai radio Shuk Sahar ‘bungkus’ di hari raya pertama

    Ketika isu tentang kerjaya sebagai deejay hangat diperkatakan, pelawak Malaysia, Shuk Sahar mendedahkan beliau pernah diberhentikan daripada sebuah stesen radio swasta sebelum ini.

    Memetik laporan mStar, Shuk atau Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 38, berkata, ketika itu beliau bertugas sebagai penyampai radio slot hujung minggu yang kebetulan jatuh pada hari raya pertama.

    Namun kerana mahu pulang meraikan Aidilfitri di kampung halamannya di Pulau Pinang, pelawak itu membuat keputusan ‘berani mati’ dengan merakam segmen kendaliannya yang sepatutnya diadakan secara siaran langsung tanpa kebenaran pihak pengurusan.

    “Masa itu hari raya dan saya kena kerja. Apa yang saya buat, saya datang malam raya ke konti.

    “Sebab nak balik Pulau Pinang, jadi saya datang (ke studio) dan rekod siap-siap. Sepatutnya show itu tak boleh rekod.

    “Saya suruh kawan-kawan menyamar jadi pemanggil,” katanya.

    Shuk mendedahkan perkara itu menerusi siaran podcast bersama Okletsgo di YouTube.

    Sambung Shuk, beliau siap mengajar rakan-rakannya untuk berlakon mengikut intonasi seperti sedang meraikan hari raya bagi mengelakkan penipuannya di kesan.

    Bagaimanapun kejadian tidak diduga berlaku apabila beliau dihubungi majikan secara mengejut sekitar pukul 6:30 pagi memintanya menukar susunan lagu yang sudah dibuat.

    “Pukul 6:30 pagi dah nak sampai Pulau Pinang, bos radio telefon saya suruh ubah lagu sebab lagu tu dah nak padam.

    “Saya terdiam, mula-mula dia telefon tu saya siap pasang radio bagi dengar macam suasana dekat konti,” katanya.

    Bengang dengan tindakan Shuk, majikan Shuk kemudian tidak berfikir panjang dan membuat keputusan dengan memberhentikannya.

    “Dia maki saya. Minggu depan kau datang kau ambil surat resign. Hari raya pertama saya dah tak ada job,” ujarnya.

    Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan pengakuan Shuk yang disifatkan sebagai berani tetapi kelakar.

    Ada juga kurang bersetuju dengan tindakan pelawak berkenaan yang disifatkan tidak berdisiplin. – Agensi

    Shuk Sahar dedahkan kisah beliau dibuang kerja dalam satu temu bual podcast. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda