Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjaya tentera memperkasa integriti, patriotisme dan profesionalisme

    Oleh Syahmi Hassan

     

    KERJAYA dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah mencabar dan berdaya saing. Kelayakan akademik semata-mata tidak mencukupi untuk membolehkan seorang anggota tentera, sama ada sebagai pegawai atau lain-lain pangkat, untuk mencapai kecemerlangan dalam angkatan tentera. Memiliki sikap yang baik, berkebolehan dan bersemangat jitu memberikan kelebihan yang diperlukan untuk menjadi seorang pegawai atau anggota tentera contoh.

    Menceburi kerjaya dalam ABDB bermakna seseorang itu perlulah bersedia untuk komited dan berkhidmat sepenuhnya dengan menampilkan integriti, semangat patriotik dan profesionalisme di tahap yang tinggi. Seseorang itu juga perlu sentiasa bersiap siaga dan bersedia untuk berusaha lebih keras lagi dari masa ke masa bagi melaksanakan peranan yang lebih besar sama ada dalam negara, serantau mahupun di arena antarabangsa. Dengan bekerja keras, ianya akan dianugerahkan ganjaran dan pengiktirafan yang setimpal. ABDB juga memberikan penekanan yang signifikan terhadap kesejahteraan anggota-anggota tentera, sama ada semasa dalam perkhidmatan mahupun juga semasa persaraan.

    Ini adalah testimoni-testimoni dari anggota-anggota tentera yang terpilih, berkongsi kisah dan pengalaman mereka dalam bidang kepakaran masing-masing.

    990 Kapten Haji Mohd Hisham bin Abdullah, Penasihat Geledah Jurutera Kombat.

    pgm6_170531_b

    SAYA kini memegang jawatan Penasihat Geledah Jurutera Kombat di Unit Pertahanan Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan, Batalion Bantu, Tentera Darat Diraja Brunei. Tanggungjawab saya adalah untuk memberi perintah dan kawalan kepada Tim Geledah, merancang dan menjalankan operasi mencari dan mengendalikan keperluan latihan.

    Dalam profesion ini, saya dapat menggunakan kelulusan akademik saya dalam bidang MEng (Kepujian) Kejuruteraan Kimia dan membawa nilai tambah daripada segi pengetahuan dan kefahaman dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan bidang kimia dan biologi. Jawatan ini memerlukan kelayakan dalam mata pelajaran seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris, di mana ianya amat berguna memandangkan tugasan dan latihan yang dikendalikan menuntut kebolehan untuk berfikir dengan tepat dan secara logik. Harapan terdekat saya untuk masa depan adalah untuk meraih banyak lagi pengalaman melalui perkongsian pengetahuan, penglibatan dalam latihan dan operasi.

    21586 Lans Korporal Nur Aleeya Qistina @Nur Halifah binti Omar, Pembantu Bilik Rawatan Pergigian

    pgm6_170531_a

    SEBAGAI Pembantu Bilik Rawatan Pergigian, saya membantu pakar klinikal pergigian seperti doktor pergigian, jururawat pergigian dan pakar kebersihan. Tanggungjawab saya adalah untuk menyediakan rawatan bilik untuk pesakit dengan mengikuti prosedur dan protokol yang ditetapkan, memastikan keselesaan pesakit semasa rawatan gigi dan membantu ahli klinik semasa rawatan.

    Saya juga membantu untuk mendidik para pesakit mengenai nasihat kebersihan mulut dan saya juga memastikan bilik-bilik rawatan dibersihkan dan peralatan disteril selepas setiap rawatan. Saya memilih profesion ini kerana saya gemar berinteraksi dengan orang ramai. Ianya memberikan saya banyak peluang untuk bertemu pesakit dari semua lapisan masyarakat. Kedua, persekitaran kerja adalah menyeronokkan.

    Aspirasi masa depan saya adalah untuk menjadi Juruterapi Pergigian, di mana ia merupakan lanjutan kerjaya yang lazim bagi saya. Juruterapi Pergigian menjalankan rawatan pergigian rutin seperti tampalan gigi biasa dan scaling yang ditetapkan oleh doktor gigi.

    17728 Lans Korporal (Udara) Md Khairul Abidin bin Haji Md Abd Hazimin, Jurulatih Krew, 12 Skuadron, No 1 Wing TUDB

    pgm6_170531_c

    SAYA menjadi Jurulatih Krew berkelayakan pada 1 April 2013 dan sejak itu telah menjadi sebahagian daripada Jurulatih Krew di 12 Skuadron, No 1 Wing, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB). Tanggungjawab utama saya adalah untuk membantu juruterbang dalam mengekalkan keselamatan setiap penumpang dan pesawat. Saya juga adalah seorang krew pesawat bagi helikopter Bolkow 105 sejak tahun 2005.

    Dalam jawatan saya sekarang, saya mengajar dan melatih krew-krew pesawat yang baru bagaimana untuk beroperasi di belakang pesawat tentera, bagi pesawat bersayap tetap dan putar. Latihan termasuk pengetahuan dalam sistem pesawat, prosedur operasi, pengendalian kecemasan, navigasi, operasi radio dan aerodinamik. Tugas-tugas yang lain adalah seperti menyelaras dan memperuntukkan semua latihan kesinambungan krew pesawat skuadron dan memastikan sasaran latihan bulanan tercapai. Kegiatan terbang adalah minat saya sejak zaman kanak-kanak lagi.

    Pengetahuan asas penerbangan adalah penting di samping keperluan untuk menunjukkan akhlak dan tingkah laku yang baik pada sepanjang masa, bukan sahaja di udara, tetapi di darat juga. Harapan saya adalah untuk mencapai objektif yang lebih besar lagi dalam kerjaya saya dalam TUDB. Saya juga berharap saya akan menjadi salah seorang Juruterbang helikopter Bolkow BO-105.

    15277 Bintara Pengiran Yusran bin Pengiran Mohd Jasni, TLDB, Ketua Penyelia Radio

    pgm6_170531_d

    SEBAGAI Ketua Penyelia Radio dalam kapal KDB IJHTIHAD, saya bertanggungjawab kepada Pegawai Pemerintah dalam memastikan semua aspek komunikasi dikekalkan.

    Kapal ini sentiasa bersedia untuk menghantar, menerima dan menyahkod mesej yang penting antara kapal yang menggunakan sistem pengendalian mesej, data kelajuan tinggi dan hubungan satelit dan sistem radio yang menggunakan komunikasi suara.

    Keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam keadaan yang berbeza adalah diperlukan untuk cemerlang dalam profesion ini. Selain itu, dari profesion ini, saya mampu untuk menyahkod pelbagai maklumat dalam rutin harian.

    1118 Leftenan (Udara) Hajimah binti Mosah, Pakar Jurutali, Jurutali Payung Terjun

    pgm6_170531_e

    PROFESION saya masa ini adalah sebagai 2IC Unit Payung Terjun Pembekal Udara Taktikal (PATDU) dan Pakar Jurutali. Sebagai pakar jurutali, saya diperlukan untuk melaksanakan pelbagai tugasan teknikal payung terjun dan kelengkapan penghantaran udara seperti pemeriksaan, bungkusan semula, pembaikan, modifikasi, analisis kerosakan dan pengurusan armada payung terjun dan Kelengkapan Penghantaran Udara.

    Jurutali memainkan peranan penting dalam operasi payung terjun terutama kepada PATDU. Setiap payung terjun yang dibungkus, dibaiki dan dipelihara oleh jurutali payung terjun boleh menjejaskan keselamatan orang lain secara langsung melalui peranan anggota pembungkusan atau secara tidak langsung melalui peranan pembungkusan kargo.

    Kegagalan untuk mematuhi prosedur teknikal dan keselamatan yang betul untuk mengekalkan payung terjun dan kelengkapan penghantaran/pembekalan udara boleh menyebabkan kehilangan nyawa, pesawat, bekalan atau kelengkapan yang mahal.

    Sedikit sebanyak, sebagai satu cara pengawalan kualiti, jurutali dikehendaki kerap membuat lompatan dengan menggunakan payung terjun yang telah mereka bungkus sendiri.

    863 Kapten Abdul Mujib bin Japar, Perjalanan Seorang Pengaman MALBATT 850-2

    pgm6_170531_f

    SEBAGAI pegawai tentera yang baru berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), ia bagaikan satu mimpi bila mana saya telah terpilih untuk menyertai misi antarabangsa di bawah naungan United Nation Interim Force in Lebanon (UNIFIL) di luar negara. Penugasan saya bermula dengan Latihan Integrasi dengan rakan-rakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertempat di Perkampungan MALBATT, Port Dickson.

    Pelantikan pertama saya bermula sebagai seorang ketua platun di Kompeni Delta sebagai platun rizab di dalam kem Ma’rakah UNP 2-1. Berkhidmat bersama-sama dengan ATM membuat saya menyedari betapa mesranya ikatan perhubungan ABDB dan ATM. Saya telah mempelajari banyak perkara daripada kepelbagaian dan keunikan kedua-dua angkatan tentera.

    Antara projek-projek yang telah dilaksanakan melalui MALBATT 850-2 adalah projek komuniti kos rendah, kerja-kerja pembaharuan klinik, pengubahsuaian dewan kemasyarakatan, pembinaan makmal komputer dan banyak lagi. Di samping tugasan pengamanan, saya juga berpeluang untuk mempelajari tentang warisan budaya dan perbezaan mereka. Ini adalah satu peluang yang jarang dapat dilalui oleh para anggota pengaman PBB.

    739 Leftenan Komander Ade Roddiane bin Haji Md Rosdi, TLDB, Pegawai Peperangan Utama

    pgm6_170531_g

    SEBAGAI Pegawai Peperangan Utama bagi kapal KDB DARULEHSAN, saya bertanggungjawab untuk merancang dan mendapatkan hasil misi dan memastikan keselamatan kapal. Tanggungjawab utama saya adalah dalam membanteras kapal dan unit-unit lain di bawah pemerintahnya. Oleh itu, jawatan ini menuntut kecemerlangan profesional, kepimpinan dan tanggungjawab di tahap yang tinggi.

    Lencana Pegawai Peperangan Utama hanya dikurniakan kepada mereka yang paling layak untuk jawatan ini. Dalam jawatan ini juga, saya diperlukan untuk menampilkan kepimpinan yang tegas, kemahiran sebagai seorang pelaut dan navigator, mampu mengendalikan kapal dengan selamat dalam apa jua suasana. Saya juga telah berpeluang untuk menavigasi KDB DARULEHSAN dalam pelayaran sulungnya pada tahun 2011.

    992 Kapten Amiza binti Haji Zainal Abidin, Pegawai Latihan, Markas Kompeni Rekrut

    pgm6_170531_h

    MELANGKAH ke halaman Kompeni Rekrut, ianya merupakan satu suasana yang unik apabila melihat para rekrut menjalankan Latihan Ketenteraan Asas (BMT). Sebagai satu-satunya pegawai wanita dalam unit ini, adalah penting bagi saya untuk mengekalkan kecergasan fizikal saya dan menjalankan tugas perintah serta kawalan saya dalam menyelaraskan latihan dengan pelbagai pihak ABDB. Latihan bukanlah satu-satunya tugasan utama saya.

    Setelah pentauliahan dari Sekolah Pegawai Kadet pada tahun 2013, saya telah ditugaskan sebagai Ketua Latihan dan Penyelidikan di Pusat Kaunseling ABDB. Dalam peranan saya sebagai seorang ahli psikologi, sudah menjadi satu perkara yang lazim bagi saya memberikan taklimat motivasi di kem-kem dan sekolah-sekolah tentera serta menyediakan perkhidmatan sebagai seorang kaunselor serta mengedarkan ujian psikometrik kepada anggota tentera dan keluarga mereka.

    Berikutan saya dinaikkan ke pangkat Kapten pada tahun 2015, saya menjalani tugasan sementara sebagai Penolong Pegawai Staf kepada Timbalan Pemerintah ABDB sebelum ditugaskan di Institut Latihan ABDB di Penanjong Garison. Jawatan-jawatan yang telah saya kendalikan telah mencorak diri saya pada masa ini dan saya berharap untuk menyerapkan semua pembelajaran yang saya perolehi untuk membentuk jiwa dan minda rekrut generasi depan yang bakal melalui latihan asas ketenteraan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda