Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Kesihatan mental sememangnya salah satu perkara penting yang perlu kita jaga sama seperti kesihatan fizikal.
Ia merupakan aspek penting dalam mewujudkan kesihatan dan kesejahteraan diri seseorang secara holistik dan menyeluruh.
Dengan adanya kesihatan mental yang baik, ia mampu memberi kesan kepada keupayaan kita dalam mengalas tanggungjawab duniawi dan ukhrawi, menghadapi tekanan harian, membuat pilihan yang sihat, dapat berkomunikasi dengan orang lain dan seterusnya dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat di sekeliling.
Sebagai umat Islam, aspek kerohanian dan keimanan juga memainkan peranan sangat penting bagi meningkatkan dan memperkukuhkan kesihatan dan kesejahteraan mental semua.
Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh Ahli Psikologi Klinikal, Ketua Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis penutup bagi meraikan para peserta Kursus Latihan Asas Kesihatan Mental Untuk Pemimpin Masyarakat khusus untuk para imam, ustaz dan daie anjuran Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berlangsung di Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong, pagi tadi.
Beliau yang juga selaku pihak penganjur bersama atau pengerusi bersama majlis itu seterusnya menambah, kekuatan dan keunikan pelaksanaan kursus berkenaan terletak pada modul-modul yang diajar sepanjang kursus selama 12 minggu iaitu dari bulan Julai hingga Oktober 2024.
Kursus tersebut bukan sahaja menerapkan kaedah-kaedah psikologi dan kesihatan mental, pendekatan terapi serta kaunseling konvensional bahkan juga pendekatan terapi dan kaunseling berpaksikan perspektif Islam, serta disepadukan juga dengan pengongsian surah-surah Al-Quran, doa-doa serta zikir-zikir yang terkait dalam meleraikan masalah kesihatan mental dan emosi.
Dalam pada itu, Dayang Nor Syahmun turut merakamkan kesyukuran dengan nawaitu berkat dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, KHEU dan Kementerian Kesihatan bergabung tenaga dan bekerjasama untuk menghasilkan serta mengungkayahkan kursus yang julung kalinya diadakan itu.
“Pada masa yang sama, inisiatif ini juga bertepatan dengan salah satu tindakan berkepentingan dalam Pelan Tindakan Kesihatan Mental Negara Brunei Darussalam 2022–2025 yang khusus terkandung dalam Strategi 3 iaitu mengukuhkan promosi kesihatan mental dan pencegahan penyakit kecelaruan mental khususnya dalam kalangan masyarakat negara ini,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, seramai 20 peserta telah terpilih untuk mengikuti kursus tersebut iaitu merupakan insan-insan terpilih yang akan mengalas tanggungjawab besar sebagai our first line of help in the community dan Duta Kesihatan Mental kalangan masyarakat.
“Mereka terdiri daripada pegawai-pegawai di bawah KHEU dan saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih dan syabas atas semangat dan keazaman tinggi mereka sepanjang kursus 12 minggu.
“Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menggalas tanggungjawab yang sedia ada dan mengimbanginya dengan menghadiri kursus selama 12 minggu dan ditambah lagi dengan tugasan-tugasan yang diberikan oleh tenaga-tenaga pengajar,” katanya.
“Alhamdulillah, lebih membanggakan lagi ramai di antara 20 orang peserta ini telah mendapatkan keputusan cemerlang pada penilaian yang dibuat pada penghujung kursus. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta yang diraikan pada pagi ini,” ujar Dayang Nor Syahmun.