GENEVA, 13 NOV – Sebuah kerongsang berlian yang pernah dimiliki Maharaja Perancis, Napoleon Bonaparte, dan hilang ketika beliau melarikan diri daripada Pertempuran Waterloo pada awal abad ke-19, telah dijual pada harga lebih 3.5 juta franc Swiss (kira-kira AS$4.4 juta) dalam satu lelongan di Geneva kelmarin, menurut Sotheby’s.
Kerongsang tersebut, yang juga boleh dipakai sebagai loket, menampilkan sebutir berlian bujur seberat lebih 13 karat yang dikelilingi berlian potongan kecil. Nilai jualannya jauh melebihi anggaran awal pra-lelongan sebanyak 200,000 franc.
Harga lelongan terakhir yang dicatat ialah 2.85 juta franc, tidak termasuk yuran dan caj lain yang menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 3.5 juta franc.
Menurut Sotheby’s, perhiasan bulat itu ditemui dalam simpanan barangan peribadi Napoleon di dalam gerabak yang tersekat di jalan berlumpur ketika beliau dan tenteranya berundur daripada pasukan British Duke of Wellington serta tentera Prusia yang diketuai Field Marshal von Blucher.
Selama lebih dua abad, perhiasan itu menjadi sebahagian daripada warisan Diraja Rumah Hohenzollern Prusia. Sotheby’s tidak mendedahkan identiti penjual dan hanya menyatakan pembeli ialah seorang ‘pengumpul persendirian’.
Antara puluhan barangan lain yang dilelong ialah batu permata berilauan hijau jenis beryl seberat lebih 132 karat, yang dikatakan pernah dipakai Napoleon semasa upacara pertabalannya pada 1804. Batu tersebut dijual pada harga 838,000 franc, lebih 17 kali ganda daripada anggaran pra-lelongan tertinggi.
Seorang pakar berlian berkata, jualan itu mendapat perhatian tambahan berikutan rompakan permata Napoleonic dari Muzium Louvre di Paris bulan lalu.
“Dengan rompakan di Louvre baru-baru ini serta kaitannya dengan salah satu tokoh paling terkenal dalam sejarah Perancis, saya tidak terkejut kerongsang ini mencapai nilai hebat 3.5 juta franc,” kata Pengarah Urusan syarikat barang kemas dalam talian 77 Diamonds, Tobias Kormind. “Kerongsang ini muncul pada saat dunia kembali terpesona dengan permata Napoleon dan kisahnya benar-benar memikat.”
Sotheby’s turut mengadakan lelongan ‘barang kemas mewah’ pada hari yang sama, namun sebelum bermula mengumumkan bahawa barangan utama, sebutir berlian merah jambu 10 karat yang dinamakan sementara Glowing Rose — telah ditarik balik dari jualan. – AP


