Friday, March 21, 2025
22.8 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Keropok daripada khinzir ditemui dalam restoran bersijil halal

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Sebuah daripada lima restoran yang diperiksa dalam satu operasi pemantauan ke atas restoran-restoran bersijil halal di kawasan Gadong didapati tidak mematuhi syarat dan kehendak pensijilan halal, kerana terdapat produk makanan tidak halal di restoran tersebut.

Semasa pemeriksaan, pegawai-pegawai Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES) telah menemui sebungkus keropok jenama ‘Special Pork Chicaron San Miguel Blacan’ di dapur sebuah restoran di Kiarong.

Keropok yang diperbuat daripada khinzir didapati di sebuah restoran di Kiarong. – GAMBAR SERAHAN KHEU

Produk tersebut diperbuat daripada khinzir, sebagaimana yang tertera pada bungkusan dan produk tersebut dirampas serta-merta untuk siasatan lanjut.

Sebagai pemegang Sijil Halal, adalah wajib untuk tidak membawa masuk makanan atau minuman yang tidak halal atau yang diragui kehalalannya ke dalam tempat perniagaan.

Dengan pelanggaran terhadap syarat ini, kes ini akan disiasat di bawah Bab 37 Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005, atas kegagalan mematuhi Syarat-syarat Sijil Halal, yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga $8,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sijil Halal dan Sijil Tauliah Penyelia Halal restoran tersebut telah dibatalkan serta-merta berkuat kuasa pada 12 Mac 2025.

JHES, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menasihatkan semua pengusaha premis makanan di negara ini yang memiliki Sijil Halal atau Permit Halal agar sentiasa mematuhi kehendak dan syarat yang ditetapkan di bawah Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005.

Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk pembatalan Sijil Halal serta-merta.

Bagi melindungi kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, KHEU melalui JHES akan sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan pensijilan halal dan pengawalannya di negara ini berjalan selaras dengan kehendak undang-undang dan juga syarak.

BKMH akan sentiasa menjalankan operasi rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada sebarang pelanggaran berlaku khasnya di kalangan pemegang sijil halal dan permit halal.

 

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda