Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Keropok lekor tiga generasi

    MERSING – Keropok lekor yang lazimnya diperbuat daripada isi ikan laut, campuran sagu dan sedikit garam, sememangnya sinonim sebagai makanan tradisi masyarakat Pantai Timur. 

    Bagaimanapun snek kegemaran ramai itu juga popular dan boleh didapati di sekitar perkampungan nelayan di daerah ini, yang turut menjadi antara lokasi tumpuan pelancong bagi mendapatkan oleh-oleh untuk dibawa pulang ke rumah.

    Osman Puteh, 66, yang mengusahakan perniagaan warisan keluarganya di Kampung Mersing Kanan berkata kebiasaannya, premis itu sering dipenuhi orang ramai terutama pada hujung minggu, musim cuti sekolah atau pun cuti umum. 

    “Kalau hari biasa cuma boleh dapat kira-kira RM300 hingga RM500 sahaja, tetapi apabila musim cuti dianggarkan boleh mencecah sehingga RM3,000 bergantung kepada nasib juga. 

    “Kebanyakan yang singgah pelancong tempatan selepas berkelah dari pantai, kumpulan ‘rider’ dan mereka yang baru balik dari pulau, namun boleh katakan dalam 15 peratus adalah pelancong dari Singapura, yang gemar akan produk-produk hasil laut ini,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini. 

    Pekerja sebuah kedai perusahan keropok Lekor Haji Puteh menyusun keropok lekor untuk menarik perhatian para pengunjung ketika tinjauan di Kawasan Bandar Mersing. – Bernama

    Osman yang berasal dari Dungun, Terengganu itu berkata kebanyakan masyarakat kampung itu terdiri daripada kalangan nelayan dan rata-rata mereka fasih bertutur dalam dialek Terengganu berikutan berhijrah dan berkahwin dengan penduduk setempat. 

    “Selain keropok lekor yang menggunakan resipi istimewa turun-temurun tiga generasi, saya juga ada menjual keropok keping, ikan kering, udang geragau, ikan pekasam, sos pencicah dan belacan,” tambahnya yang beroperasi setiap hari bermula 9 pagi hingga 8 malam. 

    Seorang pengunjung Norasikin Daud, 55, dari Alor Gajah, Melaka berkata dia tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan produk hasil laut seperti keropok lekor, ikan kering dan ikan pekasam sebagai buah tangan, apabila berkunjung ke daerah ini. 

    “Saya sering datang ke Mersing walaupun agak jauh sebab melawat anak tinggal di sini.

    “Oleh itu, setiap kali sebelum balik Melaka, wajib singgah beli keropok lekor dulu. 

    “Selain itu, saya juga tak lepaskan peluang membawa pulang makanan laut segar seperti udang, ketam dan ikan parang dan meletakkanya dalam bekas berisi ais berikutan harganya yang jauh lebih murah,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...