Keropok peria tampil kelainan

Oleh AK Zaki  Kasharan

Peria atau yang lebih dikenali dengan nama bitter gourd dalam Bahasa Inggeris merupakan sayur yang agak popular dalam kalangan masyarakat Melayu di rantau ini namun oleh kerana rasanya pahit menyebabkan tidak ramai generasi muda masa kini gemar untuk mencuba dan memakannya.

Momordica Charantia merupakan nama botani bagi sayuran yang berasal dari kawasan tropika ini. Ia banyak ditemui di Asia Selatan, Asia Tenggara, China, dan Caribbean.

Seperti tumbuhan lainnya, peria juga mempunyai pelbagai kebaikan bagi pengonsumsinya. Bagi masyarakat Melayu, selain dijadikan ulam, peria juga boleh dijadikan sebagai jus minuman harian kerana ia dipercayai mempunyai penawar bagi penyakit diabetes.

Peria jarang dicampurkan dengan sayuran lainnya disebabkan rasa pahitnya yang sangat kuat namun rasa pahitnya dapat dikurangkan dengan pelbagai cara atau inovasi seperti dengan membubuh garam atau gula pada hirisan peria tersebut sebelum dicuci dan dimasak.

Sejajar dengan perkembangan waktu dan zaman, kini peria turut menjadi bahan olahan bagi hidangan atau menjadi produk kerepek yang mula digemari ramai termasuk generasi muda.

Peria masak telur masin atau Salted Egg Bitter Gourd inovasi sajian sayur peria yang cukup sedap untuk hidangan bersama keluarga.
Syarikat Hajah Tinong di Kampung Bukit Beruang, Tutong, telah mencipta produk Keropok Peria yang mendapat permintaan ramai.

Di negara ini, Syarikat Hajah Tinong yang merupakan salah sebuah syarikat tempatan dari Kampung Bukit Beruang, Tutong, telah mencipta dan menjual produk berasaskan sayur peria.

Produk makanan yang dijual oleh syarikat berkenaan ialah Keropok Peria. Sayur peria yang dihiris halus dan dicampurkan dengan bahan perasa serta tepung sebelum digoreng nyata mendapat sambutan dan permintaan ramai.

Dengan rasanya yang rangup dan perisa yang sedap membuatkan ramai yang menyukainya lalu menjadikannya kudapan semasa bersantai, menonton televisyen dan berborak bersama rakan serta keluarga.

Sementara itu salah sebuah restoran tempatan juga turut tidak ketinggalan untuk menyajikan hidangan berasaskan peria dalam hidangan mereka untuk disajikan kepada pelanggan mereka.

Antara yang digemari ialah Salted Egg Bitter Gourd yang memberikan rasa moden kepada sajian tersebut apabila ia digoreng dengan menggunakan tepung dan disaluti lagi dengan kuning telur masin yang lemak.

Rasa manis disebabkan campuran gula pada sajian berkenaan pasti menepati halwa tekak setiap pelanggan yang pada mulanya mungkin tidak berminat, sekarang nak lagi.

Rasa pahit pada peria dalam sajian tersebut juga hilang sama sekali sehinggakan ada antara pengunjung yang mencubanya tidak dapat membezakan dan mengenal pasti peria yang digunakan tersebut kerana kelazatannya yang luar biasa.

Pada zaman dahulu, peria banyak digunakan bagi merawat pelbagai penyakit seperti asma, sembelit, malaria, demam, selesema, cacing, batu karang, buah pinggang, buasir dan kulit melecur lantas menunjukkan kebaikan tumbuhan ini untuk dijadikan makanan harian.

Di samping itu, peria juga didapati mampu menurunkan paras gula dalam darah dan salah satu cara paling mudah membantu merawat diabetes adalah dengan mengambil jus peria pada setiap pagi. Manakala untuk mengurangkan rasa pahit peria juga boleh dicampurkan dengan buah-buahan lain seperti epal hijau dan oren.

Namun dalam mengonsumsi peria juga adalah penting untuk memastikan cara penyediaannya dijaga dan diperhatikan bagi mengelakkan kandungan racun yang juga boleh menyebabkan kesan toksik seperti cirit birit, muntah dan lain-lainnya.