Penerbit dan pengarah kontroversi, Michael Ang mengaku kerosakan fosil dan dinding di Gua Matsoorat di Ipoh, Perak berpunca daripada perbuatan salah seorang kru syarikat produksinya ketika menjalani penggambaran drama Angkara Cinta di bandar raya itu, baru-baru ini.
Kesal dengan kejadian itu, Ang berkata, pihaknya masih menyiasat siapa pelaku dalam insiden tidak bertanggungjawab itu dan sedia memberi kerjasama penuh kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
“Mengenai isu penggambaran di Gua Matsoorat, saya mahu memaklumkan kami mendapat persetujuan daripada MBI untuk penggambaran itu.
“Dengan kesalnya, saya mengaku kerosakan berpunca daripada salah seorang kru.
“Kami masih menyiasat individu yang melakukannya. Kami sedia memberikan kerjasama kepada MBI berhubung perkara ini,” katanya.
Ang berjanji membuat siasatan terperinci dan memastikan individu terbabit dikenakan tindakan.
“Saya tidak akan membiarkan sesiapa yang membuat kerosakan ini terlepas daripada hukuman,” katanya.
Ang memohon orang ramai tidak memberi ulasan atau pendapat kurang baik tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.
Terdahulu, Bernama melaporkan kerajaan Perak sedang menyiasat dakwaan fosil berusia jutaan tahun dan bahagian dinding di Gua Matsoorat dirosakkan ketika sebuah syarikat produksi drama menjalankan penggambaran.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, dilaporkan berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kerosakan di tapak bersejarah itu daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – Bernama
