ANKARA, 25 JUN – Kerosakan pada tiang elektrik dikenal pasti sebagai punca kebakaran maut yang berlaku di tenggara Turkiye baru-baru ini, lapor Xinhua.
Menurut Daily Sabah kelmarin, laporan pakar yang dikemukakan kepada pejabat pendakwa raya tempatan menunjukkan ketiadaan pemutus litar automatik pada tiang elektrik sebagai kelemahan kritikal, yang disokong oleh keterangan daripada penduduk kampung, saksi kejadian dan bukti yang dikumpul.
Kebakaran tercetus pada malam Khamis lalu di kawasan yang merangkumi daerah Cinar di wilayah Diyarbakir dan daerah Mazidagi di wilayah Mardin. Semasa kebakaran selama tiga hari itu, 15 individu terbunuh dan 78 yang lain terjejas. Pihak berkuasa Turkiye telah memulakan siasatan untuk menentukan puncanya.
Pentadbiran pengagihan elektrik di Diyarbakir menyangkal dakwaan bahawa kebakaran itu disebabkan oleh talian kuasa dan memfailkan aduan jenayah terhadap seorang penduduk kampung yang mendakwa talian elektrik adalah punca kebakaran.
Menteri Pertanian dan Perhutanan Turkiye, Ibrahim Yumakli berkata kebakaran hutan itu menjejaskan 7,900 decare kawasan pertanian di Diyarbakir dan 7,000 decare di wilayah Mardin, menyebabkan kehilangan 924 ekor biri-biri dan kambing. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/06/P21-4D-WEB-AP_26062024.jpg)