SAN FRANCISCO, 30 Mei – Jurulatih Golden State Warriors, Steve Kerr semalam menegaskan dirinya tidak akan berada di bangku bagi perlawanan pertama NBA Finals menentang Cleveland Cavaliers tetapi berkata dia akan kembali pada satu ketika dalam siri tersebut.
Kerr tidak hadir dari bangku Golden State bagi 10 perlawanan playoff berturut–turut ketika dia menghadapi komplikasi akibat pembedahan belakang pada 2015.
“Saya belum bersedia untuk melatih,” kata Kerr semalam. “Saya masih merasakan kesannya,” tambah Kerr, yang menyerahkan tugasannya kepada Mike Brown ketika ketiadaannya.
Kerr, yang menonton perlawanan–perlawanan Warriors menerusi televisyen dari sebuah bilik khas sebelum berjumpa pasukan pada separuh masa pertama, meninggalkan bangku itu selepas perlawanan kedua ketika Warriors menguasai Portland pada pusingan pertama.
Dia mengadu mengalami sakit kepala yang teruk, sakit leher dan pening.
Kerr berkata dia menjangka untuk menilai semula kecergasannya selepas perlawanan pertama dalam siri itu, tahun ketiga berturut –turut Cavs dan Warriors bertemu dalam NBA Finals.
“Apabila kami berada dalam perlawanan pertama, ia mungkin masa yang bagus untuk membuat keputusan sehala atau sebaliknya,” kata Kerr.
Kerr, 51, membuat perjalanan bersama Warriors bagi dua perlawanan terakhir Western Conference Finals di San Antonio. Jurulatih itu mengesahkan dia merancang untuk membuat perjalanan ke Cleveland bagi perlawanan ketiga dan keempat dalam siri itu. – AFP