Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kertas ujian terbakar, 60,000 pelajar perlu ulangi peperiksaan

    YANGON, 22 APRIL – Lebih 60,000 pelajar Myanmar terpaksa menduduki semula peperiksaan kemasukan universiti selepas kertas jawapan mereka musnah dalam kebakaran yang berpunca daripada gempa bumi kuat bulan lalu, lapor media kerajaan, hari ini.

    Gempa bumi pada magnitud 7.7 itu meragut lebih 3,700 nyawa dan memusnahkan banyak bangunan di kawasan tengah Myanmar, dengan kerosakan paling teruk dilaporkan di bandar kedua terbesar, Mandalay.

    Dalam kekecohan selepas bencana itu, kebakaran meletus di Universiti Mandalay yang memusnahkan kertas jawapan 62,954 pelajar sekolah menengah dari wilayah utara yang sedang dalam proses semakan, menurut kenyataan pihak kerajaan tentera ketika itu.

    “Kertas jawapan peperiksaan telah musnah dalam kebakaran akibat gempa bumi yang kuat,” lapor media kerajaan hari ini. “Peperiksaan kemasukan universiti akan diadakan semula dari 16 hingga 21 Jun.”

    Peperiksaan kemasukan universiti di Myanmar merupakan satu pencapaian penting bagi remaja, kerana keputusan itu menentukan hala tuju pengajian mereka di peringkat seterusnya.

    Orang ramai memadamkan kebakaran di sebuah bangunan di Daerah Thabeikkyin, Wilayah Mandalay, Myanmar Tengah, pada 19 April. – AFP

    Tahun lalu, kira-kira 130,000 pelajar di seluruh negara menduduki peperiksaan tersebut, menurut laporan media kerajaan.

    Kebakaran di Universiti Mandalay telah memusnahkan lebih 375,000 kertas jawapan individu daripada pelajar di wilayah Mandalay dan Sagaing – kedua-duanya antara kawasan paling terjejas akibat gempa bumi pada 28 Mac – serta di wilayah Kachin, menurut tentera Myanmar.

    Sementara itu, lebih 60,000 penduduk kini tinggal di kem-kem khemah sementara selepas kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Rampasan kuasa tentera pada tahun 2021 telah menamatkan tempoh singkat reformasi demokrasi di Myanmar, sekali gus mencetuskan perang saudara yang semakin meruncing.

    Gempa bumi tersebut memburukkan lagi keadaan, di mana Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) menganggarkan sekitar 2.7 juta kanak-kanak tinggal di kawasan paling teruk terjejas oleh gempa itu, yang menurut analisis NASA telah menyebabkan pergerakan tanah sejauh enam meter. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda