Saturday, February 1, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerubut emas tenggara Australia dicalonkan ke Senarai Warisan Dunia

    CANBERRA, 31 JAN – Kerajaan Australia mencalonkan kerubut emas di tenggara negara itu untuk status Warisan Dunia.

    Menteri Alam Sekitar dan Air, Tanya Plibersek, hari ini mengumumkan bahawa kerubut emas di negeri Victoria telah dimasukkan ke dalam Senarai Sementara Warisan Dunia Australia.

    Langkah itu merupakan proses awal bagi mendapatkan pengiktirafan rasmi daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

    Dalam satu kenyataan bersama dengan kerajaan negeri Victoria, Plibersek menyatakan bahawa kerubut ladang emas yang merangkumi bahagian tengah negeri itu, dikenali sebagai Golden Triangle, turut mencerminkan sejarah komuniti Orang Asli serta penghijrahan awal ke Australia.

    Kawasan itu dikaitkan dengan ledakan emas pada tahun 1850an dan 1860an yang mencetuskan lonjakan migrasi.

    Menurut Muzium Negara Australia, lebih 30,000 pendatang dari China berhijrah ke Australia semasa tempoh itu. Menjelang 1861, sebanyak 3.3 peratus daripada populasi Australia terdiri daripada mereka yang dilahirkan di China, satu kadar yang hanya disamai pada tahun 1980an.

    Plibersek menegaskan bahawa pengiktirafan antarabangsa bagi kawasan tersebut bukan sahaja akan melindungi warisannya tetapi turut menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia.

    “Ia merupakan landskap ledakan emas yang paling luas, teratur dan masih terpelihara di dunia. Kawasan ini wajar diraikan dan dilindungi,” katanya. – Xinhua

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda