DUBAI, 22 Feb – Bekas pemain nombor satu dunia, Angelique Kerber terselamat ketika tiga daripada lima pemain pilihan terbaik tersingkir dari Kejohanan Tenis Dubai semalam.
Pemain pilihan utama dan pemenang dua Grand Slam pada 2016 menyingkirkan pemain senegara dari Jerman, Mona Bartel 6-4, 6-3 dalam perlawanan pusingan kedua.
Pemain nombor dua dunia, Kerber bergelut untuk mengembalikan ranking teratas WTA yang dimenanginya pada September lalu apabila mencatatkan kemenangan pada Terbuka AS, yang hanya menyaksikan Serena Williams merampasnya kembali dengan kemenangan pada Terbuka Australia bulan lalu.
“Saya merasa gembira dengan permainan saya, saya cuba untuk beraksi dengan permainan saya dan fokus ke atas setiap mata, saya merasakan kuat,” kata Kerber.
Pemain dari Jerman itu seterusnya akan menentang Monica Puig dari Puerto Rico, pesaing yang menewaskannya dalam pertandingan merebut pingat emas pada Olimpik Rio pada Ogos lalu.

“Perlawanan itu nanti akan berbeza sama sekali,” kata Kerber. “Saya akan cuba melakukan yang terbaik menentangnya.”
Puig menewaskan pilihan ke-15 Caroline Garcia dari Perancis dengan keputusan 6-1, 4-6, 6-2.
Finalis Terbuka Perancis, Karolina Pliskova, pemenang pertandingan Doha minggu lalu dan pemain pilihan kedua, tersingkir dengan kiraan ‘straight set’ kepada Kristina Mladenovic dari Perancis, 6-2, 6-4.
Pemain pilihan ketiga Dominika Cibulkova tewas kepada Ekaterina Makarova dengan kiraan 6-2, 4-6, 6-2 setelah tewas kepada pemain dari Rusia itu dalam pusingan ketiga di Melbourne.
Juara Roland Garros dan pemain pilihan kelima, Garbine Muguruza hanya bertahan di atas gelanggang kurang daripada 30 minit, terpaksa menamatkan pertandingan pada kedudukan 1-4 set pertama kerana mengalami kecederaan kaki dalam pertandingan pusingan keduanya menentang Kateryna Bondarenko dari Ukraine. – AFP