Kes aktif di Labuan meningkat 63 kali ganda

LABUAN, 7 JUN – Jumlah kes aktif COVID-19 di pulau bebas cukai ini meningkat 63 kali ganda sejak awal bulan lepas dengan empat kluster dijangka terus menyumbang kes baharu harian dua angka masing-masing hingga minggu depan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Labuan Rithuan Ismail, perkembangan itu dijangka menyaksikan Labuan terus mencatatkan kira-kira 200 kes baharu COVID-19 setiap hari. 

“Pada awal bulan lepas, Labuan merekodkan tidak sampai 30 kes aktif, tetapi sekarang ada 1,885 kes aktif, sementara empat kluster tersebut, iaitu Victoria Merdeka, Simpang Sahari, Simpang Sungai dan Patau-Patau mencatatkan kes baharu lebih 10 kes setiap hari,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata setakat semalam, kluster Victoria Merdeka merekodkan kes kumulatif sebanyak 361 kes, Simpang Sahari (320), Patau-Patau (249) dan Simpang Sungai (156), sementara kluster Layangan kekal dengan 58 kes tanpa sebarang kes baharu dilaporkan sejak beberapa minggu lepas. Labuan merekodkan kematian terkumpul sebanyak 39 kes setakat semalam.

Selain itu katanya jumlah mereka yang diuji positif kerana menjadi kontak rapat pesakit COVID-19 meningkat lebih 10 peratus. – Bernama

Pasukan pengurusan jenazah COVID-19 lengkap dengan pemakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) semasa bertugas membawa jenazah pesakit COVID-19 untuk urusan pengebumian ketika tinjauan di Hospital Nucleus Labuan semalam. – Bernama