Sunday, July 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes anak damit hilang pada 2007 kembali disiasat

    PRAIA DA LUZ, 3 JUN – Polis Portugal hari ini memulakan siasatan baharu berhampiran lokasi kehilangan kanak-kanak perempuan Britain, Madeleine McCann ketika bercuti bersama keluarganya pada tahun 2007, menurut seorang jurucakap.

    Madeleine dilaporkan hilang ketika berusia tiga tahun dari sebuah pangsapuri di kawasan peranginan pantai Praia da Luz di selatan Portugal, sekali gus mencetuskan kempen antarabangsa bagi mencarinya serta liputan media yang meluas.

    Beberapa kenderaan polis dilihat melalui jalan tanah yang dikawal oleh pegawai keselamatan, menurut wartawan AFP yang berada di lokasi.

    Pencarian terakhir dalam siasatan oleh pihak berkuasa Portugal dijalankan pada Mei 2023, berhampiran sebuah tasik.

    Pencarian baharu itu dijangka berterusan sehingga Jumaat dan dijalankan atas permintaan pihak berkuasa Jerman yang menyiasat Christian Brueckner, seorang perogol yang telah disabitkan kesalahan dan disyaki membunuh Madeleine.

    “Semua bahan bukti yang dirampas oleh polis akan diserahkan kepada ejen perkhidmatan polis jenayah persekutuan Jerman dengan kebenaran awal pejabat pendakwa raya negara,” menurut sumber polis.

    Ketika kehilangan Madeleine, Brueckner dilaporkan tinggal berhampiran pangsapuri keluarga McCann di wilayah Algarve selatan.

    Telefon bimbit yang didaftarkan atas namanya dikesan berada berhampiran tempat penginapan keluarga itu pada malam kejadian kehilangan.

    Brueckner kini sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun di Jerman atas kesalahan merogol seorang wanita warga Amerika berusia 72 tahun di Praia da Luz pada tahun 2005.

    Hukuman itu dijadual berakhir pada bulan September ini.

    Dia telah dibebaskan daripada tuduhan dalam perbicaraan di Jerman pada Oktober 2024 atas dua serangan seksual dan tiga kes rogol yang didakwa berlaku di Portugal antara tahun 2000 hingga 2017. – AFP

    Gerry (kiri) dan Kate McCann, ibu bapa kepada Madeleine McCann mempamerkan gambar anak mereka semasa sidang media di Berlin pada 6 Jun 2007. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda