Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes batuk kokol meningkat 986%

    KOTA KINABALU, 28 APRIL – Sabah merekodkan 76 kes pertussis atau batuk kokol dalam tempoh Januari lepas hingga semalam iaitu peningkatan 986 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu hanya tujuh kes, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

    Beliau berkata, Kota Kinabalu merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 20 kes, diikuti Lahad Datu (16), Tawau (15), Putatan (8) dan masing-masing empat kes di Semporna dan Papar.
    Katanya, Kunak dan Tambunan pula mencatatkan tiga kes manakala Sandakan, Kinabatangan serta Tuaran masing-masing merekodkan satu kes.

    “Satu kes kematian direkodkan sepanjang tempoh berkenaan dan 41 kes melibatkan warganegara, 27 Filipina dan lapan kes melibatkan warga Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas sesi Townhall Kertas Putih Zon Negeri Sabah di sini hari ini.

    Beliau berkata, pertussis adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria iaitu Bordetella pertussis.

    “Kuman disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung serta tekak. Ia boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia, namun anak damit dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.

    “Lazimnya, mereka yang dijangkiti akan mengalami batuk berpanjangan dalam tempoh satu hingga dua minggu. Ia boleh berlarutan hingga dua bulan. Batuk yang teruk dan berpanjangan ini menyebabkan pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas dan keadaan ini boleh mengakibatkan sawan kerana bekalan oksigen ke otak berkurangan,” katanya.

    Dr Zaliha berkata, sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah mempertingkatkan pemantauan dan pencegahan secara serius untuk memastikan penyakit berkenaan tidak menular.

    Menurutnya, langkah pencegahan pelalian merupakan cara pencegahan yang berkesan dan selamat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda