Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes brek kayu ‘Brembo’ cetus siasatan polis

    LUDWIGSBURG, 11 NOV – Seorang lelaki di Jerman terkejut apabila mendapati kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah jenis Mercedes GLE terpakai yang baru dibelinya di sebuah lelongan didapati menggunakan pad brek kayu yang hampir tidak mempunyai kuasa membrek.

    Bayangkan memandu SUV mewah yang baru dibeli, namun menyedari breknya hampir tidak berfungsi. Biasanya, pad brek yang haus boleh diganti dengan mudah, tetapi bagaimana jika kenderaan itu sebenarnya tidak dilengkapi pad brek yang sah atau berlesen?

    Itulah yang berlaku kepada seorang pemandu Jerman yang mendapati bahawa Mercedes GLE yang dibelinya di lelongan telah dipasang dengan blok kayu menggantikan pad brek sebenar.

    Menurut laporan polis Ludwigsburg, lelaki berkenaan, yang identitinya tidak didedahkan oleh media Jerman, menyedari sesuatu tidak kena sebaik sahaja menekan pedal brek selepas membeli kereta tersebut.

    Memetik laporan Oddity Central, kenderaan itu hampir tidak memperlahankan kelajuan walaupun dia menekan brek sekuat mungkin. Lelaki itu kemudian memanggil trak tunda dan membawa SUV berkenaan terus ke bengkel untuk diperiksa.

    Apabila sistem brek diperiksa, mekanik mendapati bahawa kenderaan tersebut tidak menggunakan pad brek sah, sebaliknya dilengkapi dengan pad kayu yang ditulis jenama ‘Brembo’ menggunakan pen marker kekal. Pad kayu itu hampir tidak mempunyai kuasa membrek dan telah merosakkan cakera brek kenderaan.

    “Ini bukan sahaja kerja amatur, malah satu bentuk kecuaian jenayah,” kata Hans Bauer, pakar keselamatan teknikal yang membantu siasatan, kepada akhbar Jerman Stuttgarter Nachrichten.

    Dia menambah bahawa kayu akan haus dengan segera apabila bergesel dengan cakera logam dan langsung tidak mampu menghentikan kenderaan seberat dua tan.

    Polis Jerman telah membuka kertas siasatan jenayah terhadap bekas pemilik kenderaan itu atas tuduhan mengubah suai elemen keselamatan kritikal kereta. Namun, motif sebenar menggantikan pad brek asal dengan blok kayu masih belum diketahui. – Agensi

    Pad kayu yang ditulis jenama ‘Brembo’ menggunakan pen marker kekal didapati dipasang pada kenderaan SUV terpakai yang baru dibeli oleh seorang lelaki Jerman, baru-baru ini. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda