Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Kes pasangan suami isteri yang berdepan pertuduhan membunuh anak damit perempuan berusia lima bulan dalam kejadian Mei tahun lalu, disebut lagi di Mahkamah Majistret.
Kasim bin Omar, 32, dan Siti Noraliza binti Haji Abdullah, 29, dinamakan suspek dalam kes pembunuhan mangsa berusia lima bulan 24 hari di sebuah rumah di Kampung Salambigar pada 29 Mei 2018.
Dalam sebutan kelmarin, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri binti Kiprawi memohon lebih masa sementara menunggu keputusan analisis DNA.
Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain kemudian menetapkan 28 Oktober 2019 untuk sebutan kes.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.