BERLIN, 11 MAC – Seorang lelaki warga Amerika dijatuhi hukuman penjara seumur hidup hari ini atas tuduhan membunuh dan tuduhan lain kerana menyerang dua wanita Amerika secara kejam berhampiran istana Neuschwanstein yang terkenal di Jerman pada musim panas lalu dan menolak mereka ke dalam gaung, menyebabkan kematian salah seorang daripada mereka.
Mahkamah negeri Kempten juga mendapati lelaki berusia 31 tahun itu bersalah atas percubaan membunuh dan memperkosa yang mengakibatkan maut, lapor agensi berita Jerman, dpa. Hakim yang diketuai Christoph Schwiebacher memutuskan bahawa defendan mempunyai kesalahan yang sangat berat, bermakna dia mungkin tidak layak untuk dibebaskan selepas 15 tahun seperti yang biasa berlaku di Jerman.
Defendan dalam sistem perundangan Jerman secara rasmi tidak membuat akuan terhadap pertuduhan, tetapi suspek mengaku tuduhan tersebut ketika perbicaraannya bermula pada 19 Februari.
Selaras dengan undang-undang privasi Jerman, pihak berkuasa Jerman tidak mengenal pasti pelaku dan mangsa. Bagaimanapun, keluarga dan rakan-rakan ketika itu berkata mangsa ialah Eva Liu, 21, yang meninggal dunia dan rakannya, Kelsey Chang, 22, yang terselamat. – AP


