KUCHING, 9 JULAI – Mahkamah Majistret di Kuching memerintahkan kes anggota polis trafik Bukit Aman yang dituduh mengakibatkan kematian seorang lelaki di Jalan Stephen Yong di sini, April lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Ling Hui Chuan selepas pihak pendakwaan mengemukakan laporan bedah siasat bagi menyokong permohonan untuk memindahkan kes yang dihadapi tertuduh, Genesis Nitchell David Reddy, 30.
Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid memaklumkan pertuduhan baharu akan difailkan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh terdekat, namun tiada tarikh sebutan ditetapkan setakat ini.
Genesis, yang berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Unit Trafik Bukit Aman, didakwa membunuh Muhammad Zaki Iderus, 34, yang maut akibat terkena tembakan semasa berada di dalam sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Stephen Yong di Kuching pada 26 April. Pada 7 Mei lepas, anggota polis itu dituduh di Mahkamah Majistret di Kuching, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. – Bernama
