Wednesday, April 16, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes bunuh: Tertuduh lihat mangsa dimarahi, ditolak

    TAWAU, 14 APRIL – Tertuduh ke-10 dalam kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia ada melihat mangsa sedang dimarahi dan ditolak ketika berada di bilik asrama 5 Belian.

    Bagaimanapun, beliau yang juga saksi pembelaan ke-12 berkata dia tidak dapat memastikan siapa pelajar terlibat, kerana keadaan bilik asrama yang gelap pada malam tersebut.

    “Di bilik itu, saya juga ada cuba untuk menepis mangsa di bahagian bahu tapi tidak kena,” katanya dalam pernyataan saksi bagi perbicaraan kes berkenaan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol, hari ini.

    Pada 28 Februari, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat atau Ijat, di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7:38 pagi 22 Mac tahun lepas.

    Kesemua remaja tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Selain itu dalam pernyataan saksi, tertuduh ke-10 itu juga berkata kali terakhir dia melihat Mohamad Nazmie Aizzat, selepas cuba memeriksa nadi mangsa di bilik asrama 7 Belian.

    “Lebih kurang 3 pagi semasa saya sedang tidur, tertuduh kelima mengejutkan saya untuk melihat keadaan mangsa di bilik asrama 7 Belian. Saya melihat mangsa sedang tidur, saya dapati mangsa masih bernafas dan saya periksa nadi mangsa,” katanya. – Bernama

    Sebahagian daripada 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun yang diperintahkan membela diri tiba di Mahkamah Tinggi Tawau, pada 11 Mac. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda