Saturday, March 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes campak di Eropah, Asia Tengah meningkat dua kali ganda

    LONDON, 14 MAC – Kes campak di Eropah dan Asia Tengah meningkat dua kali ganda pada tahun 2024, mencecah 127,350 kes, jumlah tertinggi sejak 1997, menurut analisis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF.

    Dalam laporan yang diterbitkan kelmarin, pakar kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyatakan bahawa Romania mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi dengan lebih 30,000 kes, diikuti Kazakhstan yang melaporkan 28,147 kes campak.

    UNICEF turut melaporkan bahawa kira-kira 40 peratus daripada kes campak di Eropah dan Asia Tengah melibatkan kanak-kanak di bawah usia lima tahun, manakala lebih separuh daripada pesakit campak terpaksa dimasukkan ke hospital.

    Campak merupakan salah satu penyakit paling berjangkit di dunia dan merebak melalui virus bawaan udara. Penyakit itu biasanya menyerang sistem pernafasan dan menyebabkan simptom seperti demam, batuk, hidung berair, serta ruam. Dalam kes yang serius, campak boleh mengakibatkan radang paru-paru, ensefalitis, dehidrasi dan buta.

    Vaksin campak dalam dua dos dianggarkan 97 peratus berkesan dalam mencegah penyakit ini.

    “Campak kembali dan ini adalah satu amaran,” kata Pengarah WHO bagi Eropah, Dr Han Kluge. “Tanpa kadar vaksinasi yang tinggi, tiada jaminan keselamatan kesihatan.”

    WHO dan UNICEF turut memberi amaran kadar imunisasi di Bosnia dan Herzegovina serta Montenegro amat rendah. Di Bosnia dan Herzegovina, kurang daripada 70 peratus kanak-kanak menerima vaksin campak dalam tempoh lima tahun lalu, manakala di Montenegro, kadar itu lebih rendah daripada 50 peratus.

    Para saintis menganggarkan bahawa lebih 95 peratus populasi perlu divaksin bagi menghalang wabak daripada merebak. – AP

    Botol vaksin campak, beguk dan rubella dipamerkan di Jabatan Kesihatan Lubbock pada 26 Februari lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda