ULAN BATOR, 13 APRIL – Jumlah kumulatif kes campak di Mongolia kini melebihi 500, selepas 11 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, menurut Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCCD), hari ini.
Menurut kenyataan agensi itu, lebih separuh daripada kes terbaharu melibatkan kanak-kanak sekolah yang hanya menerima satu dos vaksin campak, lapor Xinhua.
Susulan peningkatan itu, NCCD menasihati ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka menerima dua dos lengkap vaksin bagi melindungi daripada penyakit berjangkit yang berpotensi membawa komplikasi serius.
Campak ialah penyakit disebabkan virus yang sangat mudah berjangkit dan merebak melalui titisan pernafasan serta sentuhan langsung.
Simptom biasa termasuk demam, batuk kering, hidung berair, sakit tekak dan radang mata.
Penyakit ini boleh dicegah sepenuhnya melalui imunisasi lengkap. – Bernama
