Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan kes seorang lelaki tempatan yang didakwa menceroboh masuk rumah dan beberapa pertuduhan kerana mencuri diserahkan ke Mahkamah Perantaraan.
Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina Mahmud mendedahkan kepada Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman bahawa penyiasatan terhadap kes Mohammad Nazri bin Mohd Nordin, 33, baru sahaja selesai dan pertuduhan disiapkan.
Tertuduh kini berhadapan dakwaan memecah masuk sebuah kediaman yang terletak di Kampung Tungku pada waktu malam dan dua lagi pertuduhan kerana mencuri harta benda di persekitaran sebuah rumah di Kampung Kilanas dan Kampung Kiulap.
Mahkamah menangguhkan kes hingga 8 Oktober depan.