SINGAPURA, 10 OGOS – Wabak virus chikungunya di Singapura meningkat lebih dua kali ganda sejak awal tahun ini, dengan pihak berkuasa memantau rapi situasi tersebut berikutan kebimbangan global terhadap virus bawaan nyamuk itu.
Menurut buletin penyakit berjangkit Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) yang diterbitkan pada 7 Ogos, sebanyak 17 kes dilaporkan setakat 2 Ogos 2025, berbanding hanya lapan kes dalam tempoh sama tahun lalu. Sepanjang 2024, Singapura merekodkan 15 kes.
Daripada jumlah kes tahun ini, sekurang-kurangnya 13 melibatkan individu yang baru pulang dari kawasan terjejas di luar negara, manakala sekurang-kurangnya tiga kes tempatan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
CDA memaklumkan, kes mula direkodkan pada Februari dengan dua kes, meningkat sekitar dua kes sebulan hingga sembilan kes pada akhir Mei. Namun, jumlah itu melonjak kepada 13 kes pada Jun dan 16 kes pada Julai.
Sekiranya terdapat maklumat baharu yang menunjukkan risiko lebih tinggi di Singapura, CDA akan menilai keperluan melaksanakan langkah kesihatan awam tambahan.
Wabak Chikungunya, yang disebarkan melalui gigitan nyamuk dijangkiti, jarang membawa maut tetapi menyebabkan demam, sakit sendi teruk dan kemungkinan ketidakupayaan jangka panjang. Tiada rawatan khusus untuk penyakit itu. – ANN/ The Straits Times


