PARIS, 11 OGOS – Jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di seluruh dunia meningkat sebanyak 80 peratus pada bulan lalu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini, beberapa hari selepas menamakan sejenis varian of interest (voi).
WHO mengisytiharkan pada Mei bahawa COVID-19 bukan lagi menjadi kecemasan kesihatan global, tetapi telah memberi amaran bahawa virus itu akan terus berjangkit dan bermutasi, menyebabkan peningkatan sekali-sekala dalam jangkitan, kemasukan ke hospital dan jumlah kematian.
Dalam kemas kini mingguannya, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata bahawa negara-negara melaporkan hampir 1.5 juta kes baharu dari 10 Julai hingga 6 Ogos, peningkatan 80 peratus berbanding 28 hari sebelumnya.
Namun, bilangan kematian menurun sebanyak 57 peratus kepada 2,500.
WHO memberi amaran bahawa jumlah kes dan kematian yang dilaporkan tidak mencerminkan angka sebenar, sebahagiannya kerana negara menjalankan ujian dan pemantauan yang jauh lebih sedikit berbanding semasa peringkat awal wabak itu.

Banyak kes baharu berlaku di rantau Pasifik Barat, yang menyaksikan jangkitan meningkat sebanyak 137 peratus, kata WHO.
Beberapa negara di Hemisfera Utara, termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Perancis dan Jepun telah menyaksikan peningkatan musim panas dalam kes beberapa minggu kebelakangan ini.
Pakar telah mencadangkan bahawa perhimpunan musim panas dan perjalanan, imuniti yang menurun dan subvarian baharu mungkin semuanya memainkan peranan dalam peningkatan itu.
Baru-baru ini, WHO menetapkan subvarian Omicron EG.5 sebagai VOI berikutan peningkatan jangkitan yang berterusan berbanding biasa.
Lebih daripada 17 peratus daripada semua kes yang dilaporkan adalah EG.5 pada pertengahan Julai, meningkat daripada 7.6 peratus sebulan sebelumnya, menurut WHO. – AFP

