Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Kementerian Kesihatan telah mengumumkan bahawa tiada kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di Brunei Darussalam hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 138 orang.
“Sementara itu, tidak ada kes telah disahkan sembuh daripada COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kekal 124 orang. Ini membawa jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini kepada 13 kes.”
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menjelaskan semasa di Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Daripada jumlah tersebut, dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan, manakala selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.
“Pada hari ini juga, seramai 66 orang masih menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah seramai 2,509 orang,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Menurutnya lagi, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 152 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 13,580 ujian.
Mengenai dengan kes yang telah sembuh tetapi didapati positif semasa pemeriksaan susulan, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa tidak ada kes yang sedemikian disahkan hari ini, manakala satu kes telah dibenarkan pulang.
“Ini membawa jumlah keseluruhan kes yang sedemikian pada masa ini seramai 22 orang di mana enam orang masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut,” katanya.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.
