Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Tiada kes baharu telah dilaporkan bagi jangkitan COVID-19 di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 138 orang.
Sementara itu, dua kes telah disahkan sembuh dari COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 119 orang. Ini membawa jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini kepada 18 kes.
Demikian telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan, manakala selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.
Menurutnya, pada masa ini seramai 138 orang sedang menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah sebanyak 2,425 orang.

“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 281 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 12,430 ujian,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Mengenai kes yang telah sembuh tetapi didapati positif semasa pemeriksaan susulan, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa tiga lagi kes telah disahkan positif semula, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang sedemikian pada masa ini seramai 21 orang, di mana 14 orang masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga seterusnya memaklumkan mengenai pengemaskinian garis panduan berhubung dengan perkumpulan ramai yang dikeluarkan pada hari ini.
“Garis panduan tersebut memberi panduan berhubung dengan acara-acara yang dibenarkan dan tidak dibenarkan serta langkah berjaga-jaga yang perlu dipatuhi orang ramai,” katanya.
“Garis panduan tersebut akan meliputi acara-acara seperti aktiviti-aktiviti peribadi dan kekeluargaan, pendaftaran perkahwinan dan majlis akad nikah, mesyuarat, persidangan, kursus latihan dan temu duga pekerjaan serta aktiviti rekreasi di kawasan yang terbuka,” tambahnya.
Untuk makluman orang ramai, garis panduan tersebut akan diteliti dan dikemaskini dari semasa ke semasa tertakluk kepada perkembangan situasi wabak COVID-19 di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Dengan ini, garis panduan yang telah dikeluarkan sebelum ini tidak lagi akan digunakan bagi rujukan dan digantikan dengan garis panduan yang bertarikh 29 Syaaban 1441 / 23 April 2020,” katanya lagi.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.