Friday, March 14, 2025
29.3 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Kes COVID-19 Limbang-Brunei masih disiasat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Kementerian Kesihatan mengambil maklum dan sedang menyiasat mengenai kes positif COVID-19 yang dilaporkan di Limbang, Sarawak, di mana pesakit berkenaan dikatakan kembali dari Negara Brunei Darussalam.

Dalam pada itu, kontak kes berkenaan di Negara Brunei Darussalam telah disahkan negatif bagi COVID-19 dan Kementerian Kesihatan pada masa ini, masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mencari kontak-kontak yang lain.

Dengan itu, jika orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai kes berkenaan, mereka diminta untuk menghubungi Kementerian Kesihatan di Talian Nasihat Kesihatan 148.

Penjelasan mengenai dengan mesej tular berhubung kes disahkan COVID-19 di Limbang, Sarawak dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) pada Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau turut mengingatkan kepada orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang palsu yang boleh menjadi satu kesalahan.

Mengulas persoalan lanjut mengenai dengan kes berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menyatakan bahawa rakan sejawat di Malaysia terutama Kementerian Kesihatan Sarawak, telah memberikan maklumat mengenai perkara itu dengan Kementerian Kesihatan dan menyatakan penghargaan atas maklumat yang disalurkan.

Beliau menerangkan bahawa dari malam kelmarin, petugas Kementerian Kesihatan telah sibuk melakukan siasatan kontak (contact tracing) di mana salah seorang kontak di Brunei telah melakukan pemeriksaan bagi COVID-19 dan didapati negatif.

Beliau menerangkan bahawa penyiasatan lebih lanjut masih perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti kontak-kontak lain serta menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pesakit berkenaan untuk menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148.

Sementara itu, mengulas persoalan jika pesakit yang positif jangkitan COVID-19 di Limbang berkenaan mempunyai virus berkenaan ketika berada di Brunei, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa perbincangan lanjut perlu dijalankan dengan rakan sejawat di Sarawak untuk mendapatkan maklumat mengenai situasi berkenaan.

Beliau menjelaskan pengesanan kontak masih perlu dijalankan termasuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pesakit berkenaan. Laporan berita di Malaysia memetik Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa sidang media harian perkembangan COVID-19 di Sarawak, kelmarin menyatakan bahawa terdapat lapan kes positif baharu di Sarawak termasuk satu kes di Limbang.

Beliau menyatakan kes Limbang itu adalah bukti pentingnya kuarantin perlu dilaksanakan kerana pesakit itu dikuarantin di Limbang sekembalinya dari Brunei di mana beliau disaring pada hari ke-10 sebelum didapati positif dan dengan kes positif itu juga Limbang yang sebelum ini dikategorikan sebagai zon hijau kini menjadi zon kuning.

 

 

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda