Kes COVID-19 M’sia dijangka terus meningkat

PUTRAJAYA, 6 OGOS – Kes harian COVID-19 dijangka terus meningkat sebelum kadar vaksinasi negara mencapai 80 peratus pada hujung Oktober ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Beliau berkata pada masa ini peningkatan kes baharu adalah disebabkan negara berdepan dengan varian-varian baharu seperti Delta.

“Mengambil contoh kadar vaksinasi di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak yang tinggi menunjukkan kes baharu menurun, tetapi yang lebih kita tekankan di sini (Labuan dan Sarawak) adalah kadar kemasukan ke dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar kematian menunjukkan penurunan yang ketara.

“Kita jangka kalau kita dapat buat perkara serupa di Semenanjung, lebih-lebih lagi di tempat hotspot yang sedang mengalami wabak yang meningkat terutamanya di Lembah Klang, dengan peningkatan kadar vaksinasi kita akan dapat lihat penurunan (kes).

“Penurunan kes mungkin mengambil masa sedikit tetapi yang lebih penting kita nak lihat penurunan dari segi kemasukan pesakit-pesakit yang serius ke wad, maknanya mereka yang memerlukan ICU dan mereka yang meninggal dunia, itu kita harap dapat turunkan,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini. – Bernama

Datuk Dr Hishamshah. – Bernama