Kes COVID-19 M’sia kembali tiga angka

PUTRAJAYA, 8 SEPT – Kes baharu COVID-19 meningkat kepada tiga angka hari ini, iaitu 100 kes berbanding 62 kes semalam menjadikan jumlah kes positif kumulatif di Malaysia sebanyak 9,559 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 100 kes baharu itu, 85 kes merupakan penularan dalam negara melibatkan 55 warganegara dan 30 bukan warganegara.

Ia melibatkan 26 kes di Sabah daripada kluster Benteng LD, 22 kes di Kedah melibatkan kluster Sungai di Kedah dan satu kes Perlis juga melibatkan kluster Sungai.

Lima belas kes lagi merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara iaitu India, Indonesia, Pakistan dan Filipina, melibatkan dua warganegara dan 13 bukan warganegara.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 12 kes telah pulih hari ini manakala terdapat tujuh kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian direkodkan hari ini. – Bernama