Friday, January 10, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes culik: Polis tahan suspek, mangsa dipercayai dibunuh

    MANILA, 9 JAN – Polis Filipina telah menahan seorang lagi suspek dalam kes penculikan seorang lelaki warga Amerika yang dipercayai telah dibunuh oleh penculik tersebut, kata pihak berkuasa hari ini.

    Elliot Eastman diculik dari rumahnya di Pulau Mindanao, selatan Filipina, pada 17 Oktober tahun lalu. Polis sebelum ini melaporkan bahawa Eastman telah ditembak mati oleh penculiknya pada hari yang sama selepas dia cuba melarikan diri.

    Suspek, Jakaria Jamani, seorang penduduk kawasan Sibuco di Mindanao, ditahan semasa berada di laut pada Selasa. Dia kini ditahan tanpa jaminan sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan menculik, menurut kenyataan polis.

    Polis menyifatkan Jamani sebagai ‘dalang’ penculikan tersebut. Seorang lagi suspek yang ditahan pada November lalu memberitahu polis bahawa Eastman telah mati.

    Bulan lalu, polis memaklumkan kepada AFP bahawa seorang saudara salah seorang suspek melaporkan bahawa penculik telah membuang mayat Eastman ke laut.

    Mayatnya sehingga kini masih belum ditemukan. Kedutaan Amerika Syarikat di Manila enggan mengulas perkembangan kes itu dan merujuk semua pertanyaan kepada pihak berkuasa Filipina.

    Mindanao sebelum ini terkenal dengan kes penculikan untuk tebusan selama beberapa dekad, namun insiden sebegitu semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan.

    Polis berkata, suspek penculikan Eastman dipercayai tidak ada kaitan dengan kumpulan penculik terdahulu dan motif penculikan itu masih belum diketahui. – AFP

    Seorang lelaki menunjukkan kesan darah di atas pasir tempat Eastman ditembak di Sibuco, Zamboanga del Norte pada 18 Oktober lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda