Oleh Nour Maghfirah –

Dalam penghakiman yang disampaikan pada 18 Jun, Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong, bersidang bersama Hakim Michael Peter Lunn dan Hakim Edward Timothy Starbuck Woolley telah membenarkan rayuan Awang Khaliq bin Mohamed dan permohonan Awang Abdul Malik bin Mohammad untuk lanjutan masa untuk merayu.
Mahkamah menggantikan hukuman asal lapan tahun penjara dan empat kali sebatan dengan pengurangan hukuman kepada penjara selama enam tahun dan tiga kali sebatan bagi kedua-dua defendan.
Awang Malik dan Awang Khaliq merupakan antara tiga lelaki yang didakwa atas 19 pertuduhan mencuri mengikut Seksyen 380A Kanun Keseksaan, membabitkan kecurian di tempat yang dilindungi.
Kesalahan itu berlaku antara Oktober 2023 dan Februari 2024 di Pulau Muara Besar, di mana defendan bekerja sebagai pengawal keselamatan syif malam oleh sebuah firma swasta.

Kedua-dua lelaki tertuduh telah mencuri kabel tembaga dari kawasan penyimpanan CCIE Engineering Sdn Bhd dan SCCB Sdn Bhd, syarikat yang beroperasi dalam zon perlindungan di ibu pejabat Hengyi.
Pada 19 kejadian berasingan, kedua-kedua individu tersebut telah menggunakan van majikan mereka untuk melakukan pencurian, kemudian menanggalkan dan menjual kabel kepada pengitar semula logam dengan harga lebih $11,000. Secara keseluruhan, mereka telah mencuri lebih daripada 1,200 kilogram kabel tembaga.
Walaupun Mahkamah Perantaraan pada asalnya menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan agar keempat-empat hukuman dijalankan secara berturut-turut, Mahkamah Rayuan berpendapat, jumlah hukuman tersebut adalah berlebihan. Namun begitu, mahkamah turut mengakui kewujudan faktor yang memburukkan keadaan, termasuk elemen pecah amanah, pengulangan kesalahan dan jumlah kerugian yang besar.
Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin, yang mewakili pendakwa raya, telah berhujah bahawa walaupun hukuman individu adalah sesuai, hukuman global selama enam tahun lebih mencerminkan keseluruhan kesalahan.
Mahkamah bersetuju tetapi mengurangkan bilangan sebatan daripada empat kepada tiga bagi memastikan kesetaraan dengan tertuduh ketiga, yang tidak membuat rayuan dan dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan tiga kali sebatan.
Kedua-dua lelaki tertuduh tidak diwakili dan menghujahkan kes mereka secara peribadi.
Hukuman baharu itu memerintahkan tiga pertuduhan, iaitu yang pertama, ke-10 dan ke-19 dijalankan berturut-turut dengan sebatan menjadi kumulatif, mengakibatkan jumlah yang disemak semula menjadi enam tahun penjara dan tiga kali sebatan.