Kes curi kamera CCTV ditangguhkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Mahkamah Majistret di sini, kelmarin telah menangguhkan kes melibatkan dua lelaki tempatan yang tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dan kesalahan yang berkaitan.

Pemangku Majistret Kanan, Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof akan menetapkan tarikh perbicaraan sebutan semula kes pada 18 Julai depan.

Mohammad Syafiq bin Yahya, 27, didakwa atas kesalahan mencuri kamera CCTV dari Firoz Jaya Silkhouse di Kampung Tanjong Bunut pada suatu malam, Disember 2019.

Mohammad Syafiq juga didakwa mencuri kamera CCTV yang lain dari Firoz Jaya pada suatu malam Mei lalu. Manakala itu, Mohammad Norsham bin Haji Sabtu, 38, didakwa menerima barang-barang curi berkenaan daripada Mohammad Syafiq.