Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes curi, lelaki dipenjara lebih 6 tahun, 4 sebatan

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Mahkamah Perantaraan di Tutong, kelmarin, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan tujuh bulan berserta empat kali sebatan terhadap seorang lelaki tempatan atas kesalahan mencuri yang mengganggu perkhidmatan utama.

    Sabitan terhadap Mohammad Hasrin bin Chulan dijalankan selepas perbicaraan di mana mahkamah mendapatinya bersalah, berdasarkan kes pendakwaan.

    Pendakwa Ahmad Firdaus Mohammad ketika membentangkan keterangan di mahkamah, disokong oleh saksi pendakwaan, mendedahkan bahawa defendan telah mencuri kabel dari tangki di Rumah Pam Panaga 2000 pada 2 Februari 2022.

    Pada 3 Februari 2022, defendan mencuri dua pam air dari tangki lain di tapak yang sama, menyebabkan gangguan bekalan air awam.

    Dalam proses mencuri pam air tersebut, defendan telah melakukan khianat dengan menyebabkan kerosakan.

    Gambar Envatio Elements

    Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar turut mensabitkan kesalahan terhadap defendan kerana mengugut untuk menyerang dua pekerja yang mengawal rumah pam itu.

    Ancaman mula-mula berupa amaran kepada pekerja supaya tidak memberitahu sesiapa tentang kehadirannya dan jenayah yang dilakukannya.

    Kemudian, defendan pergi kepada pekerja-pekerja tersebut buat kali kedua, menuntut salah seorang daripada mereka menyerahkan telefon bimbit dan mengugutnya supaya tidak memaklumkan sesiapa tentang kejadian itu.

    Kedua-dua ugutan itu dibuat sambil mengacukan parang ke arah mangsa.

    Defendan mempunyai rakan sejenayah dalam kedua-dua kejadian, tetapi telah mengaku bersalah dan menjalani hukumannya.

    Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar pampasan sebanyak $2,400 bagi kerugian yang ditanggung oleh Jabatan Kerja Raya akibat kesalahan yang dilakukannya, atau menjalani hukuman penjara tambahan sebulan.

    Bagaimanapun, dia mengesahkan tidak dapat membayarnya sehingga membawa kepada tambahan jumlah hukuman yang sedang dijalaninya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda