JAKARTA, 21 OKT – Indonesia hari ini menandatangani perjanjian untuk menghantar pulang dua warga Britain, termasuk seorang nenek yang kini menunggu hukuman mati atas kesalahan berkaitan dadah, kata seorang menteri.
Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, Indonesia telah membebaskan beberapa tahanan berprofil tinggi, termasuk seorang ibu warga Filipina yang dijatuhi hukuman mati serta lima anggota terakhir kumpulan dadah terkenal ‘Bali Nine’.
Lindsay Sandiford, yang kini berusia lewat 60an, dijatuhi hukuman mati di Pulau Bali pada 2013 selepas disabitkan kesalahan penyeludupan dadah.
Ketika tiba di Bali menaiki penerbangan dari Thailand pada 2012, pegawai kastam menemui kokain bernilai kira-kira AS$2.14 juta yang disembunyikan di bahagian bawah bagasi miliknya.
Sandiford mengakui kesalahannya, namun mendakwa dia terpaksa membawa dadah tersebut selepas diugut oleh satu sindiket dadah yang mengancam akan membunuh anak lelakinya. Namun, rayuannya terhadap hukuman mati itu ditolak pada 2013.

Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Yusril Ihza Mahendra, berkata beliau telah menandatangani perjanjian dengan Menteri Luar Britain, Yvette Cooper, bagi pemindahan Sandiford dan Shahab Shahabadi, 35, yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas ditahan atas kesalahan dadah pada 2014.
Sumber kerajaan memberitahu AFP kedua-dua banduan itu akan dipulangkan ‘dalam masa terdekat’ sebaik perincian teknikal pemindahan dimuktamadkan.
Kedua-dua banduan mengalami masalah kesihatan yang teruk. Sandiford telah “diperiksa oleh doktor di Indonesia, serta oleh doktor dari konsulat British di Bali dan sedang sakit tenat”, kata Yusril. Manakala, Shahabadi pula “menghidap pelbagai penyakit serius, termasuk masalah kesihatan mental”, tambahnya.
Tidak dapat dipastikan sama ada Sandiford akan kekal di Penjara Kerobokan di Bali, yang terkenal sesak dan berisiko tinggi, sebelum pemindahan, atau akan dipindahkan ke fasiliti lain terlebih dahulu.
Indonesia dikenali mempunyai undang-undang dadah antara paling tegas di dunia dan puluhan warga asing masih berada dalam hukuman mati atas kesalahan berkaitan dadah di negara itu. – AFP

